29 Disember 2013

Kegagalan

Rupanya setiap yang kita inginkan bukanlah dengan mudah boleh kita dapatkan. Saya memakluminya sejak lama dulu. Kegagalan demi kegagalan yang saya alami membuatkan saya menjadi lebih jelas tentang proses kehidupan ini. Cuma ada ketika gagal itu sungguh menyakitkan hinggakan saya sendiri tidak mampu memujuk hati untuk merelakan ia terjadi kepada diri saya.

Ketika itulah saya akan bertanya kepada diri, mengapa semua ini harus terjadi? berulang kali?? adakah saya antara hamba-Nya yang telah ditakdirkan untuk hidup dengan seribu kegagalan ini? Tidak layakkah saya untuk menempa kebahagiaan mengikut kehendak hati saya?

Jika dulu tawa dan tangis saya dikawal oleh oranglain, kini saya tidak mahu ianya terjadi lagi. Saya mahu menjadi tuan kepada diri saya sendiri. Saya ingin berkata 'ya' kepada perkara yang saya suka. Saya juga ingin berkata 'tidak' kepada perkara yang bukan kehendak saya namun sebagai hamba yang berjalan di mukabumi ini dengan belas dan ihsan-Nya semua itu tidak mungkin dapat saya lakukan.

Apa yang perlu saya buat adalah mengkaji mengapa saya gagal lagi. Saya perlu muhasabah diri mengapa saya gagal lagi. Saya perlu mengubah pendirian diri, saya perlu mengubah persepsi terhadap hidup ini dan kata kunci saya adalah:

Jangan berkata: "Inilah nasib saya". tetapi ubahlah kepada "Inilah rezki saya".

Sesungguhnya dari Allah saya datang, kepada Allah saya akan pergi. Dari Allah semua ini saya terima dan kepada Allah saya berserah diri.

21 Disember 2013

2014

2014 bakal datang.

Sebagaimana tahun-tahun yang lalu ketibaan tahun baru pasti akan diiringi dengan semangat dan azam yang tinggi. Jika selalunya azam itu akan menjadi milik peribadi namun tidak bagi 2014. Untuk tahun 2014 saya tidak akan bersendirian merealisasikan impian dan azam kerana saya akan ditemani oleh suami dan anak-anak saya. Kami akan sama-sama merealisasikan azam kami demi meningkatkan taraf hidup, ekonomi dan pendidikan kami.

Tahun 2014 anak sulong saya akan melanjutkan pengajian diperingkat ijazah, anak kedua saya akan ke kolej, anak ke tiga pula akan menjengah ke tangga tingkatan 2 begitu juga saya. Impian untuk melanjutkan pelajaran telah begitu lama saya tangguhkan demi memberi laluan kepada anak-anak terlebih dahulu.

Alhamdulillah, dengan dorongan dan izin suami saya akan bermula semula sebagai pelajar pada tahun 2014. Cita-cita saya dalam bidang penulisan akan saya capai dengan penuh semangat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sebuah permulaan baru...

Bismillahirrahmanirrahim...

Agak lama tidak menjengah ke blog ni. Kesibukan meneruskan kelangsungan hidup membataskan masa untuk saya menulis di sini. Sebenarnya bukan hanya blog ini yang terbiar namun manuskrip novel kedua saya, perancangan untuk antologi cerpen dan puisi saya juga turut terbengkalai.

Ini sedikit sebanyak memberi kesan yang tidak baik juga pada jiwa saya yang suka menulis. Mungkin seorang penulis dapat memahami derita seseorang yang minat menulis namun tidak dapat menulis kerana kekangan masa dan tugasan. sungguh menyeksakan.

Saya akan cuba sedaya upaya untuk terus menulis di sini. Ye! Sedaya upaya.