21 Julai 2014

Ia adalah sebuah permulaan..

Walaupun perjalanan saya dalam bidang penulisan telah saya mulakan pada tahun 2008 dan ianya bermula dengan menulis manuskrip sebuah novel namun hingga ketarikh ini masih belum ada sebuah novelpun yang dapat saya hasilkan. Manuskrip pertama telah siap pada penghujung 2012. Saya mengambil masa lebih 4 tahun untuk menghasilkan sebuah manuskrip yang benar-benar memuaskan hati saya. Saya agak cerewet dalam penggunaan bahasa. Bahasa yang manis sangat memberi kesan kepada pembaca. Itu pendirian saya.

Manuskrip pertama itu saya judulkan sebagai Cinta Tangkuban Perahu. Setelah melalui beberapa fasa pengeditan akhirnya ia siap dengan sedikit ketidakpuashatian (8%). Saya juga meminta pandangan dari rakan-rakan baik dan seorang novelis yang telahpun berjaya mencipta nama dari novel-novel beliau. Beliau adalah Pak Baharudin Kahar (penulis novel Senjakala). Beliau menyarankan agar saya mengubah judul tersebut namun akhirnya saya hanya mengubah sedikit sahaja menjadi Rindu Tangkuban Perahu.

Pada 2013 saya telah menghantar manuskrip tersebut menyertai sayembara yang telah dianjurkan oleh pihak ITBM. Setelah setahun menunggu akhirnya ternyata nasib masih tidak menyebelahi saya. Saya ambil kembali manuskrip tersebut dan mencuba nasib di Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah tidak sampai 6 bulan saya telah menerima sepucuk surat dari pihak berkenaan meminta agar saya membuat penambahbaikan terhadap manuskrip saya agar menepati standard Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya menerima semua ini dengan hati terbuka dan hari ini saya berazam sedaya upaya akan saya lakukan yang terbaik untuk memenuhi kehendak penerbit bagi memenuhi jua impian dan cita-cita saya.

Kini, dalam masa yang sama juga saya sedang menyiapkan manuskrip novel saya yang kedua yang bakal saya namakan Bonda Hikmah. Ia merupakan hadiah kedua saya buat suami dan anak-anak, mak juga adik beradik, guru dan juga rakan-rakan. Saya ingin menjadi pendidik melalui novel dan penulisan saya.

Semoga Ramadhan mubarak ini akan melimpahkan rezeki buat saya. Semoga hasrat saya ini mendapat pertolongan dari Allah SWT. Insyaallah.

25 Mac 2014

Hati Manusia...

Alhamdulillah.. akhirnya berjaya juga saya melapangkan masa untuk mencoret di ruangan yang telah sekian lama saya tinggalkan demi meneruskan kelangsungan hidup sebagai ibu, isteri dan pekerja.

Secara dasarnya saya sangat mensyukuri segala kurnia yang telah diberi oleh Illahi kepada saya. Saya punya segala-galanya walaupun bukan duit yang berjuta, wajah juga sederhana tidak secantik mana, kecerdikan cukup sekadar keperluan tugas dan pembelajaran saya namun semua itu rezki saya.. rezki yang telah Allah SWT pinjamkan kepada saya selama saya masih menapak di bumi milik-Nya.

Akhir-akhir ini kisah kehilangan misteri MH370 sangat mendapat liputan yang meluas dari media massa, media cetak dan elektronik. Ramai juga yang dengan sukarela menjadi pengulas kepada post-post di FB.. sukarelawan barangkali namun dari pemerhatian saya yang menyokong sama banyak dengan yang mengejek. Adakah kehilangan ahli keluarga merupakan lelucon bagi mereka hingga mengabaikan perasaan empati dan simpati sesama manusia? Bagaimana jika yang hilang itu saudara mara mereka atau mungkin sahabat handai terdekat mereka? Tidakkah mereka merasa kehilangan dan ketidaksempurnaan dalam meneruskan kehidupan juga rutin seharian?

Hati saya terdetik... kasih sayang sebenarnya tidak perlukan bukti material tetapi cukup hanya dengan perlakuan. Begitu juga nilai-nilai kemanusiaan.. tidak perlu kau menghulur wang ringgit juga harta benda untuk meredakan kesedihan seseorang, cukup sekadar usah menambah kepedihan mereka dengan kata-kata juga fitnah yang melukakan.

Jadilah manusia yang benar-benar berhati manusia, usah mementingkan pandangan dan pendirian sendiri yang entah benar entahkan tidak.. berbicaralah sebagai seorang insan yang bertuhan, yang berilmu juga berhati manusia. Haiwan tidak mungkin memiliki hati manusia namun kebelakangan ini banyak manusia yang meminjam hati haiwan.

Bunyinya agak kasar namun itulah hakikat dewasa ini. Kita semakin kurang kasih sayang sesama manusia. Bukankah ada disebut "Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga kamu menyintai saudaramu sepertimana kamu menyintai dirimu sendiri" Usah hanya tahu, usaha hanya dibaca tapi perlu dibudayakan dalam jiwa...