23 Julai 2015

Pembentangan Projek

Alhamdulillah..

Presentation oleh semua pelajar-pelajarku pada Khamis, 11 Mac 2010 berlangsung dengan jayanya. Aku membahagikan petang itu kepada 3 sesi iaitu pembentangan, soal jawab, ulasan olehku dan pembelaan (aku menggunakan istilah ini kerana aku mahu mereka memberi maklumbalas kepada komen dan ulasanku) oleh ahli kumpulan. Ternyata dalam kelasku ada yang mampu berkomunikasi dengan baik. Markah untuk projek kumpulan ini telahpun aku berikan tetapi belum lagi aku muktamadkan. Proses mengisi markah dan validasi akan berlangsung pada April ini. Masih sempat untuk aku mencari lagi peluang untuk menambah markah kepada student-student yang agak tidak berketrampilan dan pasif.

Semoga mereka lebih memahami tentang kekeluargaan dan nilai sebuah kehidupan. Insyaallah

Bukan Hanya Sebuah Perhubungan




Salam dan Selamat Sejahtera..kepada diriku dan pembaca blog ringkasku ini.

Semoga kita semua sentiasa didalam rahmat Allah SWT. Dah terlalu lama aku tidak menulis di dalam blog ini. Kekangan masa dan tugas me'limit'kan untuk aku berbicara di ruangan maya ini tapi hari ini aku ingin menulis sesuatu yang bisa menjadi sejarah dan tatapan di suatu masa nanti.

Alhamdulillah pada 31 Januari 2010 yang lalu aku telah menerima kunjungan dari pelajar-pelajarku seramai kira-kira 30 orang semuanya. Baru menghadiri kelas kira-kira 4 kali dan secara jujurnya aku masih belum mampu mengingati nama setiap dari mereka kecuali ketua kelas lelaki dan perempuan. Aku cuba sedaya upaya menjadi pembimbing mereka dan dalam masa sama ingin sekali menjadi teman tapi mesra kepada mereka. Aku tidak mahu ada jurang yang memisahkan kami sehinggakan kelasku hanya akan menjadi seperti sebuah panggung wayang.. penonton hanya mampu menonton, gelak mahupun menangis dan komen akan dilontar sejurus kaki melangkah keluar dari panggung. Aku ingin menjadikan kelasku sebuah medan perbincangan, perdebatan dan perkongsian segalanya. Aku gembira bila melihat wajah mereka ceria dengan 'cerita' yang aku bawa.. dan aku juga mahu menunjukkan reaksi terkejut dan musykil apabila mereka melontarkan soalan dan kemusykilan. Aku inginkan sebuah perhubungan 2 hala antara kami.. dan kelihatannya kami berjaya mewujudkan sebuah suasana mesra dan ceria. Masa 2 jam yang diberi setiap sessi kami manfaatkan sebaiknya. Harapanku sebagai pembimbing aku ingin apa yang aku sampaikan dapat diterima semaksima mungkin. Aku bukan pendidik akademik tetapi lebih kepada kerohanian dan pembinaan sahsiah diri. Oleh itu teknik pengajaran dan sumber yang aku ambil tidaklah sama dengan pendidik akademik. Rujukan-rujukan ku mestilah 'balance' antara buku, majalah, suratkhabar, maqalah atau yang sama jenis dengannya dengan Al-Quran dan Sunnah. Hidup terbina dari pelbagai sumber iaitu hukum akal, hukum adat dan hukum syarak. Tugasku adalah menekankan tentang perlunya keseimbangan semua hukum-hukum dalam hidup ini dalam kita melayari hidup ini. Terlebih pada satu-satu perkara akan membuatkan kita pincang tugas dan pastinya ia akan memberi kesan yang bukan sedikit kepada seseorang itu.

Tujuan aku menjemput mereka datang ke rumahku adalah untuk berkenalan dengan lebih rapat tentang mereka dan aku ingin mereka melihat cara hidup sebenar seorang wanita yang sentiasa bercakap tentang kehidupan kepada mereka. Alhamdulillah sepanjang berada di rumah senyuman sentiasa tersungging di bibir mereka. Gelak tawa menghiasi suasana. Sesi bergambar menjadi sebuah platform kepada mereka untuk menunjuk aksi. Aku gembira.. kerana menggembirakan orang lain adalah satu perbuatan yang dituntut di dalam Islam.

Wahai pelajar-pelajarku kamu bukan saja hanya pelajarku tetapi kamu adalah salah satu sumber kekuatan bagiku untuk menjadi seorang yang lebih baik..

Bismillahirrahmanirrahim..
Rabbana hablana min azwajina wazurriatina kurrata'ayun waja'alna lilmuttaqina imama....." Sodaqallahul'azim.

Ya Allah Yang Jiwaku di TanganMu..
Terimalah amalanku..
Terima lah jariahku sebagai sebuah kebajikan bagiku ..
Sebagai sebuah sedekah bagi mereka..
Hanya Engkau Yang Mampu..
Amin amin..

22 Julai 2015

Akulah penglipurlara..

Semalam telah berlangsung kelas yang kedua. Diamanahkan pelajar seramai 40 orang kepadaku. Lelaki dan perempuan bersama di dalam sebuah ruang selesa untuk berkongsi segala ilmu bersamaku.

Aku cuba sedaya upaya untuk 'membaca' raut wajah tiap pelajarku.. wajah suci.. penuh harapan agar kelas ini akan dapat memberi 'sesuatu' kepada mereka. Tidak kurang juga yang berwajah lesu.. gambaran hati yang membatu (mungkin)..

Mereka belum mengerti apakah yang akan 'dihadiahkan' kepada mereka oleh wanita ini. Walau baru sebentar bersama.. berhadapan muka.. bergelak ketawa.. berkongsi cerita namun dalam hati ini telah terbit rasa kasih.. mereka bagaikan anakku sendiri.. tiba-tiba teringat Nana.. puteri hatiku.. tentu dia juga merinduiku.. sudah tentu!!

Tiada kata dapat kuluah.. tiada gambaran mampu kupersembah.. tiada rasa dayaku helah.. aku memang menyayangi kamu semua.. walau kasih sayangku bertahap-tahap tapi ia masih di dalam uncang yang sama iaitu di dalam hatiku ini.

Moga kasih antara kita semua akan berkekalan hingga hujung nyawa.

Kepada pelajar baruku.. jadikanlah kelas kita medan untuk kita sama-sama berlatih menggunakan senjata kehidupan.. hebat tidaknya kamu terletak di tangan kamu sendiri..saya hanya sebagai pembimbing.. pemudahcara dan penglipurlara...

Kelas

Petang ini ada kelas.. ikut silibus hari ini kena sentuh bab poligami, poliandri dan monogami.. biasanya tidak banyak yang kuhurai tentang tajuk ini kerana bagi pelajar-pelajar yang belum pernah memasuki alam perkahwinan perkara ini tidak begitu menarik perhatian dan keinginan mereka.

Maklum sajalah sebagaimana yang kita tahu setiap orang yang belum berkahwin akan sentiasa berharap biarlah 'pak we' dan 'mak we' mereka itulah yang akan jadi jodoh mereka dan kekal ke akhir hayat.. Lainlah jika orang yang sudah berkahwin, rasa 'kasihan' atau 'ingin melindungi' mula menyerap ke dalam hati.. dan mula berazam untuk memperluaskan lagi 'cawangan' dan memikul lebih banyak tanggungjawab bagi meraih pahala yang lebih juga(sangka baiklah...). Jangan pula ada yang marah dengan kenyataanku ini kerana ini adalah pandangan peribadiku saja..hehehe..

Sebagai kesinambungannya aku akan menyentuh tentang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor serba sedikit sebagai imput kepada pelajar dan bagaimanakah poligami boleh dikaitkan sebagai salah satu jenayah.

Moga diberi ilham yang banyak untuk menyampaikannya secara lebih mudah kepada mereka semua.

Kelas

Semalam kelas berjalan seperti biasa. Alhamdulillah kehadiran penuh 100%. Amat payah untuk mencapai kehadiran sebegitu. Tiap minggu biasanya akan ada sahaja pelajar yang ada keuzuran atau masalah yang tidak dapat dielakkan.

Memandang wajah-wajah suci itu membuatkan aku merasakan bahawa begitu besar amanah dan tanggungjawab yang aku sedang pikul sekarang ini. Walau hanya dua jam seminggu namun tanggungjawabku bukan sedikit. Sebaris ayat yang aku sampaikan jika diambil serius maka tidak mustahil akan dapat menyelamatkan sebuah keluarga. Begitu juga sebaliknya.

Mengajar mereka seolah mengajar anakku sendiri. Bagaimana mereka tertawa bila aku melawak, bagaimana mereka menunduk dan mengalihkan wajah apabila dimarah dan ditegur..semuanya serupa dengan anak-anak kita.

Pada sesi tazkirah awal semester dulu aku selalu menegaskan bahawa walaupun aku berdiri di hadapan dan mereka hanya duduk memandang namun tidak bermakna aku perlu menguasai sesi pembelajaran. Aku lebih suka perbincangan berbanding memberi syarahan.

Hormati yang tua kerana mereka hidup lebih lama dari kita, mereka telah meraih pahala lebih banyak dari kita. Hormati yang lebih muda dari kita kerana mereka tidak mempunyai dosa sebanyak kita.. itu kata guruku..

Ada kebenarannya..

Apa yang aku harapkan mereka dapat mengaplikasikan apa yang aku sampaikan sebagai satu cara hidup. Bukan hanya sebagai memenuhi kotak-kotak kehadiran setiap sesi.

Aku halalkan ilmu yang kusampaikan kepada mereka.. semoga ada kebaikan buat semua. Insyaallah.

Pelajar

Semester ini hampir tiba kepenghujungnya. Aku turut sama meraikannya. Bukan dengan sorak sorai tetapi lebih kepada berfikir dan mentafsir. Menilai sifat manusia tidak semudah menimbang sekilo beras mahupun gula.

Mata memandang, hati berbisik, minda terbuka untuk mencerna dan mentafsir. Hasilnya nanti adalah apabila slip peperiksaan dikeluarkan.

Bagaimana agaknya wajah mereka jika melihat huruf yang di'hadiah'kan tidak seperti yang mereka mahukan? Kecewa? Redha? Putus asa? Alahai.. tidak sanggup rasanya.

Namun apapun jika terbaik yang mereka mahukan maka mereka perlulah melakukan yang terbaik. Apa yang mereka buat pasti akan mendapat balasan/hasil yang setimpal dengan usaha dan ikhtiar yang dilakukan.

Dalam perkara ini, aku kena adil. Beri pada yang hak.

Siapa Boleh Jawab?

Bismillahirrahmanirrahim..
Salam..

Alhamdulillah sekali lagi aku diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk terus melihat mentari pagi.. Masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumiNya ini.. Sekali lagi juga aku diberi peluang untuk mencoretkan kata hati di lembaran ini.

Dipagi ini hati terasa begitu syahdu.. semuanya rentetan dari apa yang berlaku kepadaku sejak akhir-akhir ini.

Hidup berputar umpama roda..semua orang sering memperkatakannya. Ia lebih tertumpu tentang silih gantinya perasaan suka dan duka, gagal dan berjaya di dalam kita meniti kehidupan. Namun pernahkah kalian mengalami situasi dimana apa yang pernah berlaku 10 atau 20 tahun lalu berlaku sekali lagi di putaran kali ini? Jelas maksudku? Contoh: pada usia 15 tahun kamu ditemukan dengan seorang hamba Allah dalam situasi begini-begini (dan ketentuan takdir telah memisahkan kamu dengan sebab begini-begini) dan pada hari ini setelah 10 tahun berlalu (pada usia 25 tahun) kamu ditemukan sekali lagi dengan orang yang sama dalam situasi yang sama. Adakah ini suratan atau kebetulan?

Benar sekali bahawa roda hidup memang berputar.. buktinya situasi di atas. Jadi, sebagai manusia biasa sekiranya pertemuan pertama menemukan kamu dengan kekecewaan maka adakah kamu menginginkan pertemuan kedua ini berlaku? Adakah kemungkinan pertemuan kedua ini akan membawa kebahagiaan atau membawa kekecewaan sebagaimana pertemuan pertama? Siapa boleh jawab? Silakan...

Duit? Kawan? Cinta? (1)

Bagi kamu apakah sebenarnya yang lebih penting dalam hidup ini? Duit,Kawan atau Cinta?

Jika aku diberi soalan sebegitu jawapanku adalah KAWAN.

Bukan aku tidak memerlukan duit mahupun cinta.. malah kerana ketaksuban aku terhadap cintalah aku masih lagi keseorangan hingga kini.. tetapi jika kita fikirkan sedalam-dalamnya dengan KAWAN kita mampu bergelak ketawa.. Jika menangispun tidaklah lama..
Mereka sentiasa ada tak kira masa.. Walaupun tanpa 'komitment' mereka terpanggil untuk setia. Berkawan tidak bersyarat.. yang penting kita saling hormat.

Tapi ini bagiku.. mungkin tidak sama dengan kalian semua.. so tepuk dada tanyalah citarasa..

Nota: Akan ada perbahasan lain dalam catatan akan datang..

Wanita ini

Ingin menulis lagi
Meluah rasa hati
Yang terpendam di sanubari
Buat catatan bicara sepi
Sebelum jiwa ini mati
Sebelum jasad ini didakap bumi
Sebelum nama ini tidak lagi didengari

Ingin aku merakam kata
Didalam sebuah catatan masa
Untuk tatapan waris yang ada
Agar mengenal nenek moyangnya
Yang pernah hidup melara
Pernah juga bergelak ketawa

Hidupnya sepi seakan mati
Ketika ditinggal wali sendiri
Dituruti pula kekasih hati
Sepilah dia di muara janji

Datang cahaya memberi harapan
Kekasih bukan cintanya pun bukan
Tapi cukup sebagai jambatan
Untuk dia bertemu tuhan

Dipenghujung harinya bicara perlahan
Angkuh dan sombongnya jatuh berserakan
Hatinya lembut bak rambut perawan
Sentiasa cuba memberi pengertian

Wanita ini seorang pengembara
Menuju tuhan yang Maha Kuasa
Dunia baginya tiada apa
Akhirat jua idaman hatinya

Hanya ini...

Dia hanyalah manusia biasa, yang tidak punya apa-apa selain rasa cinta dan ingin dicintai oleh seorang insan bernama wanita.

Dia pernah melalui saat-saat gelap dalam hidupnya. Pernah menjadikan ego dan nafsu sebagai tuhan, pernah berbuat salah dan aniaya. Pernah juga menzalimi diri dan keluarganya.

Namun..
Saat itu sudahpun berlalu.. hari-hari yang berlalu semakin menjauhkan dirinya dengan kehidupan lalu. Dia kini semakin mulia jiwanya, semakin lembut hatinya, semakin tinggi hormatnya sesama manusia, semakin lunak kata-katanya.. semakin amanah dalam tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Semoga dia akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Semoga hidayah Allah akan lebih mengisi diri dan jiwanya.

Hanya ini yang mampu dilakukan sebagai insan terdekat dengannya. Hanya ini...

Hanya Sebuah Luahan...

Rindu?
Rindu pada yang tak rindu pada kita, elok dibiarkan saja.

Sayang?
Sayang pada yang tak sayang pada kita, halalkan sahaja.

Benci?
Benci pada orang yang bencikan kita tidak akan menjadi apa.
Benci pada orang yang sayangkan kita, zalim namanya.

Harap?
Harap kepada yang boleh diharap, 50% akan tercapai.
Harap kepada yang tidak perlu diharap, hanya membuang masa.

Kagum?
Kagum kepada yang berjaya, suatu motivasi minda dan tindakan.
Kagum kepada sesuatu yang tidak baik, menempah kehancuran namanya.

Katanya...

"Jangan difikir berapa besar impian kita itu, yang perlu difikir adalah berapa besarkah kita untuk impian itu"

Apa Sebenarnya Yang Kita Mahu?


Salam dan Salam Sejahtera,

Setiap manusia di dunia mempunyai pandangan yang berbeza tentang kehidupan.. yang mana darinya akan membeza arah tuju kehidupan itu sendiri.

Ada yang senang dengan kesenangan dan susah dengan kesusahan. Ada yang terasa payah dengan kepayahan dan ringan dengan keringanan. Siapa yang tidak mahu senang? Siapa yang mahu susah?

Namun percayakah anda ada juga insan yang senang dengan kesusahan dan ringan dengan kepayahan (atau ada insan yang susah dengan kesenangan dan payah dengan keringanan?? Mungkin ada tapi dapat dibilang dengan jari barangkali) kerana itu aku katakan itu semua terpulang kepada cara kita memandang sesebuah kejadian dan kehidupan itu sendiri.

Semua ini ada penjelasannya.. perlu dikaji banyak perkara termasuk prinsip dan persepsi seseorang itu terhadap kehidupan ini, barulah kita akan dapat jawabannya.

Selesanya kita..

Kita selesa dilahirkan sebagai seorang anak oleh ibu bapa yang kita sayangi
Kita selesa menjadi seorang ibu/ayah kepada anak-anak yang comel dan menghiburkan
Kita selesa menjadi suami/isteri kepada pasangan yang dengan rela menemani kita menyelusuri jalan kehidupan
Kita selesa diberi jawatan yang kebiasaannya sesuai dengan minat dan kemampuan kita
Kita juga selesa diberi harta yang bersesuaian dengan citarasa dan kehendak kita

Logiknya:
Keselesaan ini boleh membuat kita menjadi seorang yang sangat menghargai kehidupan dan insan-insan di sekeliling kita..

Namun pernahkah kita terfikir ada kemungkinan keselesaan ini akan membuatkan hidup kita hambar tidak bervariasi?
Mungkin juga keselesaan ini akan membuat kita menjadi seorang yang pentingkan diri?
Mungkin juga keselesaan ini menjadikan kita seorang yang tidak maju dan akan terus berada ditahap itu sampai akhir nanti?

Hanya untuk difikirkan oleh yang ingin berfikir..

Persoalan ini...(1)

Rindu pada yang telah tiada.. sungguh menyeksakan..
Rindu pada yang di depan mata.. sungguh membimbangkan..
Rindu pada yang tak pernah ada.. sungguh memalukan..

Kasih yang dalam sesama manusia.. sungguh merimaskan..
Kasih yang dalam pada yang telah tiada.. sungguh mengharukan..
Kasih yang dalam pada yang tidak menyayangi kita.. sungguh menyedihkan..

Harap pada yang tiada.. sungguh mengecewakan
Harap pada yang di depan mata.. sungguh mengujakan
Harap pada yang belum tentu ada.. sungguh menakutkan

Perlukah rindu?
Perlukan kasih?
Perlukan harap?

Perlu.. tapi jangan terlebih..

Buatmu Sahabat

Teman
Hadirmu bermuqadimah mimpi
Diilhamkan oleh Illahi
Memberi satu anugerah
Dipertanggungjawabkan satu amanah

Dari kawan menjadi teman
Dari hambar timbulnya perasaan
Rasa kasih tidak bertepi
Rasa bahagia tidak terkata

Hari berlalu tanpa dipeduli
Tawa dan tangis saling mengisi
Cemburu dan curiga tidak dapat dinafi
Namun tak mampu bermimpi untuk memiliki

Sayangku padamu tidak bersyarat
Kasihku padamu tak akan mengikat
Tapi kini aku pasrah
Kerna antara kita tak akan ada penyudah

Kini aku bebaskan dirimu
Terbang riang di dunia milikmu
Berenang di lautan ciptaan mindamu
Menyusur akar realiti hidupmu

Walau kasih aku terpaksa menyisih
Walau sayang aku juga terpaksa terbang
Gundah hatiku biarku kemam
Luka hatiku biarku pendam

Melepaskanmu umpama melepaskan semangatku
Meninggalkanmu umpama mencacatkan diriku
Namun demi kebahagiaanmu
Aku relakan pemergianmu..

Nukilan: Natamulia, Disember 2009

Untuk Mu

Tanpa sinar mata
Tanpa getar suara
Tanpa hangat sentuhan
Tanpa perlu berpegangan
Kita Saling menghiburkan
Tangisan kita redakan
Gelak tawa sama ceriakan
Ada rindu dalam hati
Ada sayang tersembunyi
Kita bersama kerana Allah
Jika berpisah tidak gelisah
Mungkin hanya sebagai sahabat
Namun keikhlasan kita cukuplah hebat
Tak mungkin ada benci
Walau terpisah ditakdir Illahi
Biar sayang berkekalan
Biar kasih berpanjangan
Biar rindu menyambungkan
Hati kita yang kegersangan..

(Ogos 2009)
Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk terus menapak di bumi bertuah milik-Nya ini. Berazam untuk memperbaiki diri walaupun saya tahu sebenarnya memang susah. Puas juga cuba tabah tapi setiap kali itulah ujian yang lebih besar datang menjengah. Airmata usah dicerita namun pengalaman saya makin saya menangis makin saya lega dan makin jernih fikiran saya. Selepas menangis semuanya kembali tenang dan ketika itu saya semakin boleh berfikir dengan lebih baik. Mungkin itu salah satu hikmah airmata yang Allah berikan kepada manusia.

Saya bukanlah seorang yang warak. Ada ketikanya saya leka dan kadangkala dek kesibukan dunia saya melakukan amal ibadah dengan sekadarnya sahaja. Hanya melakukan yang fardhu dan tidak menambah dengan yang sunat. Melakukan atas sebab ia adalah kewajipan yang jika ditinggalkan akan menyebabkan saya dimurkai Allah. Namun begitu saya cuba sedaya upaya untuk tidak merasa terpaksa.

Ketika Ramadhan yang lalu, saya menyertai kumpulan Tadarus. Tahun-tahun sebelumnya juga saya tidak pernah ketinggalan menyertai rakan-rakan yang lain namun Ramadhan kali ini, saya merasakan kelainannya. Saya teruja mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari rakan-rakan saya. Ada yang membaca tanpa lagu tetapi tajwid dan makhraj hurufnya tepat dan sangat cemerlang. Saya ni hanya boleh dikategorikan sebagai pembaca yang sederahana. Saya tidak membaca dengan laju kerana cara saya memang suka membaca berlagu. Dibulan-bulan lain juga saya memang membaca Al-Quran hampir setiap malam namun yang ingin saya kongsikan di sini adalah jika kita membaca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh, dengan minat dan penuh penghayatan ia merupakan suatu pengalaman manis yang begitu indah dan asyik. Sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan tetapi hasil dari amalan selama sebulan itu saya merasa 'sayang' mahu meninggalkan Al-Quran walaupun sehari. Masyaallah..

21 Julai 2015

Alhamdulillah.. Sehari lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk menapak di bumi-Nya, menghirup udara syukur kesetiap pembuluh darahku.

Mohon semoga Allah SWT terus melimpahkan hidayah-Nya kepadaku. Semalam aku lena dalam kemarahan yang masih bersisa. Kecewa dengan diri sendiri. Diri ini bagaikan tidak sedar diri kerana berharap pada sesuatu yang tak pasti. Mungkin juga usahaku belum cukup untuk menggapai segala impian yang kubina sendiri. Aku tidak mampu memaafkan semua orang ketika mahu lena malam tadi. Aku betul-betul tidak mampu.

Aku merasakan betapa aku tidak dihargai, betapa pengorbananku tidak langsung bererti. Inilah akibatnya jika terlalu berharap kepada manusia.

Astaghfirullahal'azim.. semoga Allah mengampunkan semua salah dan dosaku.. aku manusia alpa!