28 Mac 2016

Pengajian

Bagi yang belum maklum, sebenarnya sekarang saya sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam jurusan Pengajian Melayu (dengan kepujian). Ramai yang bertanya mengapa tukar bidang dihujung-hujung. Hehehe.. dulu saya pernah belajar dalam jurusan pentadbiran dan pengurusan, pernah juga menyambung dalam bidang Kaunseling namun akhirnya saya memilih untuk menyambung dalam bidang ini.

Inilah hakikat kehidupan. Tidak semestinya kita hanya menurut arus kehidupan. Kita perlu berubah dan kuasa mengubah itu ada pada kita. Berdoa kepada Allah semoga diberi ilham untuk berubah kemudian bekerja keraslah untuk itu.

Saya pernah gagal dalam hidup, pernah juga terhalang untuk menyambung pengajian atas factor-factor hidup juga namun kini setelah semua itu berlalu maka saya tidak mahu berlengah lagi. saya perlu memanfaatkan peluang masa dan kesihatan yang Allah berikan kepada saya dengan sebaiknya.

Salah satu sebab mengapa saya menyambung pengajian dalam bidang ini adalah kerana saya merasa sudah tidak berdaya lagi untuk bekerja dalam bidang ini. (saya bertugas di Unit Komunikasi Korporat) yang memerlukan komitment yang tinggi. Waktu bekerja, pelanggan yang perlu dilayani, idea, akur dan sebagainya membuatkan saya letih. Mungkin jika saya muda lagi, emm saya boleh saja melakukan semua itu seperti 5-6 tahun dulu. Kini segalanya terbatas dan saya bataskan. Keputusannya, saya perlu memilih satu bidang, satu pekerjaan yang saya suka, yang saya selesa, yang sesuai dengan jiwa dan usia saya.

Saya ingin menjadi seseorang pada hari-hari emas saya. Saya ingin mendidik dengan cara saya, saya ingin bercerita dengan cara saya, saya ingin berkongsi pengalaman dengan cara saya dan yang paling penting saya ingin capai apa yang saya inginkan dalam hidup saya sebelum saya dipanggil tuhan.

Dengan berbekal sebuah novel dan beberapa buku yang telah saya hasilkan bersama rakan, saya memilih untuk mendalami bidang ini. Saya mahu menjadi seorang penulis yang berilmu.

Doakan saya..kerana tidak lama lagi saya akan menduduki ujian akhir untuk semester ini. Seperti biasa rasa gementar.. apapun sekali lagi mohon doakan saya.

Cermin

Nampaknya saya semakin kurang berdisiplin kerana semakin jarang mengemaskini blog ini walaupun sebenarnya terlalu banyak cerita yang ingin saya kongsikan di sini.

Perlukah blog ini sebenarnya?
Bagi saya PERLU. Selain ia mampu menjadi sebuah catatan perjalanan hidup saya, ia juga boleh membantu saya memahirkan kaedah penulisan saya.
Di sini dapat saya rakamkan seberapa banyak mungkin aktiviti dan pengalaman saya.

Dua bulan kebelakangan ini saya amat sibuk dengan tugas-tugas hakiki. Nasib saya baik kerana diberi tugas yang berbagai. Saya masih perlu melakukan tugasan di pejabat namun dalam masa sama saya perlu 'meronda' satu Johor untuk melaksanakan sebahagian lagi tugas hakiki saya.Sesungguhnya memang benar, jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pengetahuan.

Memandang kehidupan bukan hanya pada lahiriahnya sahaja. Contoh memandang daun bukan hanya kerana ia melekat di ranting, bukan hanya kerana ia berwarna hijau, kuning, merah atau sebagainya, juga bukan kerana seliratan uratnya namun pandanglah pada Penciptanya, tujuan penciptaannya, manfaat dan fungsinya. Begitulah juga cara menilai manusia. Pepatah Inggeris selalu kita dengar Don't Judge The Book By Its Cover. Ia pepatah biasa namun jika kita mengaplikasikannya pada apa yang ada disekeliling kita maka ia akan menjadi begitu besar maknanya.
Diusia ini, saya sudah bertemu ramai orang. Dalam ramai-ramai itu semuanya memang menjadi kenalan saya, namun bukan semua menjadi sahabat saya.

Kadangkala rakan kita itu berwajah bengis, bermulut laser dan lebih kerap membuat kita rasa nak cili mulut dia tetapi cuba fikirkan semula adakah apa yang dia katakan itu ada kebenaran atau tidak? Ada juga yang terlihat membosankan namun hakikatnya dia sangat mengambil berat dan penyayang. Emm.. bahagia sebenarnya bila kita dapat menyingkap hakikat sebenar diri mereka. Manis!

Saya menjadi lebih selektif kerana saya selesa berada dengan rakan yang boleh memahami saya dan saya memahami mereka. Bukan semua orang boleh menerima buruk dan baik kita sama seperti kita yang lebih suka kepada kawan yang sering memberi keselesaan pada kita. Namun begitu rakan yang selalu mengiyakan tindakan dan kata-kata kita tidak semestinya rakan yang baik bagi kita. Kadangkala rakan yang paling banyak berdebat dengan kita, yang paling kerap mempertikai tindakan kita itulah sebenarnya rakan yang baik.

Saya ada beberapa rakan begitu. Mereka menjadi cermin bagi saya. Tempat untuk saya meneutralkan pemikiran saya yang sering condong kepada kehendak diri sendiri. Kita memerlukan rakan sebegini sebenarnya. Walaupun kadangkala rasa geram tapi usah difikir tentang perasaan kita tetapi lebihkan kepada hasilnya.

Untuk rakan2 itu, kamu adalah anugerah Allah SWT buat saya.