11 November 2015

Majlis Pelancaran Buku Narasi Kembara Rasa-Hajah Kadariah binti Daud

Semalam 10 November 2015 merupakan hari bersejarah buat sahabat yang telah saya anggap seperti ibu sendiri iaitu Hajah Kadariah Daud. Beliau merupakan seorang pesara guru yang sangat aktif sehingga kini. Semalam juga merupakan Hari Lahir beliau yang ke 70 tahun. Alhamdulillah Allah kurniakan dia kesihatan yang baik dan ilham yang cerdas juga di usia emas.

Saya bersama-sama rakan yang lain iaitu Sdr Ainol Hasanal Jalaludin dan Cik Suriani Shaari telah bertungkus lumus merealisasikan impian beliau untuk mendakap buku pertama beliau di hari lahir beliau.

Majlis yang lebih kepada pertemuan antara keluarg dan rakan-rakan itu benar-benar menyentuh jiwa saya. Keakraban kami semua begitu jelas dan mengujakan sesiapa sahaja yang berada di sana.

Di dalam majlis tersebut saya dapat bertemu dengan rakan-rakan penulis yang telah kukuh kedudukannya di arena penulisan buku tanahair. Antara yang hadir adalah Dato' Amirudin Ali Hanafiah, Setiausaha PPJ, Dr. Abu Naim merupakan mantan Setiausaha PPJ Daerah Segamat, Tuan Haji Shapiai Ramly iaitu penyair tanahair yang terkenal dengan Buku Puisinya Keris Sebilah Itu dan saya juga sempat berkenalan dengan seorang novelis muda yang menggunakan nama pena Raiza Khairina.

Saya juga diperkenalkan dengan rakan-rakan hajah yang rata-ratanya adalah guru. mereka menyampaikan hasrat untuk belajar menulis dengan saya. Rasa kerdil pula diri ini. Ilmu saya tidak sedalam mana namun ada juga yang ingin berguru dengan saya.

Lebih teruja apabila berkenalan dengan anak saudara Hajah Kadariah iaitu Tuan Haji Zaidan bin Ismail yang dulu merupakan Timbalan Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia. Juga saudaranya Dr Hj Abdullah Ismail seorang pemegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Psikologi.

Dengan berjanji untuk saling berhubung majlis diakhiri dengan masing-masing meninggalkan name kad kepada saya :) tandanya persahabatan baru bermula dan topic selanjutnya nanti adalah tentang penulisan dan penerbitan buku.

Sesungguhnya orang yang lokek di sisi tuhan adalah seorang yang lokek ilmu! Saya tidak mahu termasuk dalam golongan itu.

10 November 2015

Rezeki Allah

Alhamdulillah. Allah berikan saya rezeki yang melimpah ruah sejak akhir-akhir ini. Kegembiraan berganda apabila novel pertama saya khabarnya telahpun terbit dan kini dalam proses pengedaran ke wakil-wakil penjual.

Setakat hari ini saya belum menerima naskhah percuma (untuk pengarang memang akan diberi beberapa buah naskhah percuma). Dalam tidak sabar untuk menatap dan mendakap 'baby sulong' saya ini saya benar-benar bersyukur dengan rezeki yang Allah beri ini.

Saya tiada latar belakang penulis dalam keluarga. Walaupun saya mula belajar menulis ketika Darjah 6 namun ia terhenti setakat itu kerana saya tidak mendapat mana-mana nombor dalam pertandingan mengarang peringkat kebangsaan.

Inilah satu-satunya bakat semulajadi yang ada pada saya yang tidak saya sedari. Ia timbul sendiri mungkin hasil cetusan rasa dari dalam jiwa yang tidak terluah kepada sesiapa. Maklumlah ketika kita sedih kadangkala ada yang sudi mendengar kadangkala mereka tidak bersedia. Bukan mereka tidak sudi tapi kita juga kena memahami yang mereka juga ada masalah dan komitmen sendiri. Bertitik tolak dari itu saya belajar menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran saya tetapi bukan dalam bentuk diari tetapi manuskrip.

Alhamdulillah penantian yang sekian lama berakhir juga.

Bukan hanya kegembiraan ini malah untuk tahun lalu saya antara yang terpilih untuk menerima Anugerah Khidmat Cemerlang. Terus terang saya tidak pernah menyangka dengan usia perkhidmatan di sini yang baru setahun jagung saya sudah menerima anugerah ini. Rasa segan nak sambut surat yang dihulur oleh Tuan Rektor.

Benarlah rezeki itu rahsia Allah. Dalam pada saya bersedih dengan apa yang terjadi di sekeliling saya Allah berikan kegembiraan berganda kepada saya.

Syukur Alhamdullah.

disebalik semua ini saya sebenarnya sedang bersedih dengan masalah yang melanda kawan-kawan. Walaupun ia tiada kaitan dengan saya tetapi selagi mereka itu kawan saya maka saya akan turut merasa sakit yang mereka rasa. Saya hanya mampu memberi semangat dan pandangan selain doa buat mereka.

Semoga kita semua sentiasa dalam kerahmatan

28 Oktober 2015

Khabar Gembira

Alhamdulillah. Pagi ini saya menerima khabar gembira bahawa novel pertama saya berjudul Cinta Di Taman Mimpi telahpun diterbitkan semalam dan dijangka akan mula berada di pasaran seawall November nanti. Alhamdulillah. Syukur kehadrat Allah SWT diatas kurniaan-Nya. Saya menghabiskan masa 4 tahun untuk menamatkan novel tersebut. Ditambah 2 tahun lagi untuk menghantarnya ke penerbit-penerbit tempatan. Ditambah 1 tahun lagi untuk menyertai sayembara yang berakhir dengan kegagalan dan selepas dua tahun saya menghantarnya ke Dewan Bahasa dan Pustaka akhirnya semalam (28 Oktober 2015) ia telah Berjaya diterbitkan.

Sebuah perjalanan yang panjang bagi CDTM (Cinta Di Taman Mimpi)bagi penulis amatur seperti saya. Walaubagaimanapun saya patut bersyukur kerana manuskrip tersebut ia diterima tanpa banyak penambahbaikan.

Jerih payah saya dalam usaha mengenengahkan karya saya itu saya anggap telah terbayar dengan penerbitan buku ini.

Terima kasih buat
Bonda saya Dawamah binti Haji Ramlan
Suami saya Azman bin Awalludin
Puteri dan putera saya Zety Natasha, Nabila Ezaty, Erdyna Karmila, Mohd Shaaban dan Iman Azlia Marissa
Kekanda dan adinda saya Yasmazah, Zety Azlin, Noor Halinda, Noor Ashikin, Mohd Saifulizan, Mohd Saifulazmi
Keluarga mertua dan adik beradik ipar saya
Rakan-rakan dan semua yang terlibat dalam pembikinan novel tersebut.

Alhamdulillah..


JUDUL: CINTA DI TAMAN MIMPI
PENGARANG:ZETY NATAMULIA BINTI ELIAS
PENERBIT; DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
HARGA: RM25.00


JUDUL: ANTOLOGI CERPEN DAN PUISI KEMBARA DAKSINA 1
PENERBIT: UiTM CAWANGAN JOHOR


JUDUL: ANTOLOGI CERPEN DAN PUISI KEMBARA DAKSINA 2
PENERBIT: UiTM CAWANGAN JOHOR DAN PPJ


JUDUL: 100 PILIHAN PERIBAHASA INGGERIS
PENGARANG: DR NORIAH ISMAIL/SUHAIDI ALIAS@ELIAS/ZETY NATAMULIA ELIAS
PENERBIT: UiTM CAWANGAN JOHOR
HARGA: RM20.00


UNTAI MUTIARA
PENGARANG: ZETY NATAMULIA ELIAS
PENERBIT: UiTM CAWANGAN JOHOR
HARGA RM12.00

13 Oktober 2015

Mainan Perasaan

Hari ini berbagai peristiwa berlaku yang pda pandangan saya semuanya melibatkan perasaan.

Peristiwa 1

Seperti hari-hari sebelumnya saya akan menghantar Iman Marissa ke Taska. Kebiasaannya juga dia akan gembira dan menghadiahkan saya senyuman manis sambil mengucapkan kepada saya ayat 'Iman Smart Girl'. Namun berbeza sungguh hari ini. Dia marah, dia menangis dan dia juga mengulang-ulang perkataan yang sama.

Iman 'serabut'lah kat sekolah tu, budak-budak bising. She is only 3 ok. Macamana seorang kanak-kanak berusia 3 tahun boleh meluahkan perasaan sebegitu. Dia memang cerdik. Perasaannya jelas sehinggakan dia mampu meluahkannya dengan perkataan. Kemarahannya juga jelas sehinggakan apabila saya terus memujuk dia langsung tidak terpengaruh. Kesedihannya jelas terbukti dengan airmata yang berjuraian ketika saya tidak menghiraukan keengganannya untuk masuk ke taska. Akibat dari itu. Perasaan sedih saya juga terkait. Hiba hati saya kerana tidak mampu memujuknya. Hiba hati saya kerana tidak mampu memenuhi kehendaknya. Hiba hati saya kerana tidak boleh menjadi ibu sepenuh masa baginya.

Perasaan kami bercampur baur.


Peristiwa 2

Tugas saya sejak akhir-akhir ini semakin bertabah namun disebabkan saya meminatinya maka saya tidak langsung merasa terbeban namun kadangkala kenyataan tidaklah seindah impian dan perancangan. Ada dalam kalangan rakan-rakan kita yang kadangkala melayani kita seolahnya kita tidak punya perasaan. Dia mahu diutamakan kerana perasaannya yang utama. Dia mahu diberi kelebihan kerana perasaannya sahaja yang berlebih-lebih.

Disebabkan itu, perasaan marah sayapun melonjak.

Dan diketika ini perasaan rindu saya pada Iman Marissa begitu membuak-buak.. Beberapa minit lagi saya akan menjemput dia dari taska. semoga ada senyuman manis dari dia buat saya.

06 Oktober 2015

Nasyid

Seminggu dua ini saya agak sibuk dengan tugas. Bukanlah sebelum-sebelumnya tidak sibuk tetapi kali ini kesibukan bertambah dengan tugas-tugas baru. Jabatan kami akan dilawati oleh pelajar-pelajar dari sebuah sekolah rendah di negeri Johor ini juga. Dalam agenda yang diatur saya terlibat juga sebagai penyampai taklimat atau lebih tepat saya katakana sebagai sesi perkongsian. Saya telahpun menyiapkan slide untuk presentation buat mereka. Selain itu saya juga perlu bersedia dengan mental dan fizikal kerana apa yang akan saya sampaikan nanti adalah sesuatu bidang yang lebih kepada bakat.

Ia adalah tentang Nasyid. Saya bukanlah seorang yang hebat tentang Nasyid. Saya mengenali Nasyid sejak saya belum bersekolah rendah lagi. Saya sering mengikut arwah abah untuk mengadakan latihan Nasyid bersama kumpulannya yang masih saya ingat namanya iaitu Nahdatul Ashikin. Waktu itu yang saya tahu hanyalah menggoyang Marakas atau Tamborine. Ia menghasilkan bunyi yang menarik. Mungkin itulah pada fikiran saya pada usia itu.

Seiring waktu berlalu, daripada menjadi pendengar saya mula menyertai Nasyid bagi pihak sekolah atau belia. Saya kurang berkeyakinan waktu itu. Saya hanya membuka dan menutup mulut tanpa mengeluarkan suara ketika orang lain menyanyi. Saya rasa note suara saya rendah dan bermasalah untuk menyanyikan lagu dalam note tinggi. Saya rasa sayalah punca kekalahan kumpulan Nasyid saya ketika itu. Hehehe..

Bila semakin berusia saya pula menjadi pencipta lirik dan lagu Nasyid. Sambil itu saya juga mendendangkan sendiri lagu yang saya cipta. Seringkali juga diminta menjadi vocalist.

Penghormatan bagi saya apabila diminta menjadi juri atau mengajar vocal kepada kumpulan-kumpulan Nasyid.

Itulah secara ringkasnya perjalanan saya dalam bidang Nasyid. Apa yang boleh saya katakana adalah, saya menyukai Nasyid dan segalanya tentang Nasyid. Ia bukan sekadar seni ianya adalah kenangan saya bersama abah. Saya akan sentiasa menyokong apa sahaja berkaitan Nasyid. Insyaallah. Kalau ada yang berminat mahu saya membantu dalam bidang ini, sila hubungi saya. Terima kasih.

27 September 2015

Suami/isteri/anak-anak adalah pinjaman Allah SWT buat kita supaya kita boleh meraih pahala dari mereka. Kasihi mereka, cintai mereka, sayangi mereka, taati mereka, lindungi mereka kerana Allah. Usah keterlaluan bimbang tersasar niat dan tujuan bekeluarga.

26 September 2015

Bingung!
Dihimpit berbagai persoalan
Tentang mimpi semalam
Yang asyik menari-nari
Melintuk liuk disanubari

Dalam kelam malam
Ia jelas dipaparan
Namun bila siang menjelang
Ia hanya tinggal bayangan
Kabur
Hancur!

Aku bingung!
Adakah mimpi ini
sekadar hiburan buat lena yg panjang?
Atau sebenarnya membawa pesanan?

Namun mengapa?
Ada resah yg ketinggalan?
Ada sayu yang menekan?
Ada hiba yang menghimpit jiwa yg kedukaan?

Justeru...
Watak2 itu
Kata2 itu
Warna2 itu
kiasankah?
Bermaksudkah?
Perlu ditafsirkah?

Huh! Mimpi yang menari..
Usah datang lagi
Ia meragut tenang hatiku
Ia menggoyah kukuh jiwaku.
Usah..usah


KS 9/2015

23 September 2015

Bismillahirrahmanirrahim
Rupanya susah juga untuk mendisiplinkan diri menulis di ruangan ini setiap hari. Rasanya Bonda kena akur bahawa Bonda perlu mengutamakan urusan-urusan lain yang perlu disegerakan.

Petang ini dipejabat Bonda keadaan agak sunyi. Manakan tidak esok adalah Hari Raya Aidil Adha maka ramailah kawan-kawan Bonda yang telahpun pulang ke kampong masing-masing. Malah ada yang telah mengambil cuti sejak semalam lagi.
Seperti biasa Aidil Adha tahu ini Bonda sambut di rumah sendiri juga bersama suami dan anak-anak. Jika 5 tahun dulu Bonda berhari raya Aidil Adha di sini maka begitu juga untuk tahun ini.

Tahun ini Bonda menyambutnya dengan sederhana sahaja yang penting bagi Bonda adalah kebersamaan bersama suami dan anak-anak. Jika bertuah maka kakak Bonda akan turut sama beraya bersama Bonda. Insyaallah semoga dipermudahkan oleh-Nya.

Bila memikirkan hari ini yang tidak begitu sibuk, Bonda teringat semalam dan kelmarin dimana dua hari tersebut adalah hari yang begitu sibuk untuk Bonda dengan mesyuarat demi mesyuarat. Tugas demi tugas yang diamanahkan pada Bonda kelihatannya semakin berat apabila menjangkau umur yang sebegini. Semangat memang perlu untuk mendepani situasi begini. Bonda hanya mampu berusaha untuk melakukan sebaik mungkin disamping berdoa kepada yang Maha Kuasa agar mengurniakan kepada Bonda rezeki kesihatan yang baik, idea yang melimpah ruah dan hati yang redha, ikhlas dan tenang dalam melaksanakan segala tugasan ini.

Semoga Bonda akan menjadi lebih matang dan teguh dalam mendepani hari-hari muka yang tidak tentu lagi coraknya.

Insya Allah, Amiin..amiin.

23 Julai 2015

Pembentangan Projek

Alhamdulillah..

Presentation oleh semua pelajar-pelajarku pada Khamis, 11 Mac 2010 berlangsung dengan jayanya. Aku membahagikan petang itu kepada 3 sesi iaitu pembentangan, soal jawab, ulasan olehku dan pembelaan (aku menggunakan istilah ini kerana aku mahu mereka memberi maklumbalas kepada komen dan ulasanku) oleh ahli kumpulan. Ternyata dalam kelasku ada yang mampu berkomunikasi dengan baik. Markah untuk projek kumpulan ini telahpun aku berikan tetapi belum lagi aku muktamadkan. Proses mengisi markah dan validasi akan berlangsung pada April ini. Masih sempat untuk aku mencari lagi peluang untuk menambah markah kepada student-student yang agak tidak berketrampilan dan pasif.

Semoga mereka lebih memahami tentang kekeluargaan dan nilai sebuah kehidupan. Insyaallah

Bukan Hanya Sebuah Perhubungan




Salam dan Selamat Sejahtera..kepada diriku dan pembaca blog ringkasku ini.

Semoga kita semua sentiasa didalam rahmat Allah SWT. Dah terlalu lama aku tidak menulis di dalam blog ini. Kekangan masa dan tugas me'limit'kan untuk aku berbicara di ruangan maya ini tapi hari ini aku ingin menulis sesuatu yang bisa menjadi sejarah dan tatapan di suatu masa nanti.

Alhamdulillah pada 31 Januari 2010 yang lalu aku telah menerima kunjungan dari pelajar-pelajarku seramai kira-kira 30 orang semuanya. Baru menghadiri kelas kira-kira 4 kali dan secara jujurnya aku masih belum mampu mengingati nama setiap dari mereka kecuali ketua kelas lelaki dan perempuan. Aku cuba sedaya upaya menjadi pembimbing mereka dan dalam masa sama ingin sekali menjadi teman tapi mesra kepada mereka. Aku tidak mahu ada jurang yang memisahkan kami sehinggakan kelasku hanya akan menjadi seperti sebuah panggung wayang.. penonton hanya mampu menonton, gelak mahupun menangis dan komen akan dilontar sejurus kaki melangkah keluar dari panggung. Aku ingin menjadikan kelasku sebuah medan perbincangan, perdebatan dan perkongsian segalanya. Aku gembira bila melihat wajah mereka ceria dengan 'cerita' yang aku bawa.. dan aku juga mahu menunjukkan reaksi terkejut dan musykil apabila mereka melontarkan soalan dan kemusykilan. Aku inginkan sebuah perhubungan 2 hala antara kami.. dan kelihatannya kami berjaya mewujudkan sebuah suasana mesra dan ceria. Masa 2 jam yang diberi setiap sessi kami manfaatkan sebaiknya. Harapanku sebagai pembimbing aku ingin apa yang aku sampaikan dapat diterima semaksima mungkin. Aku bukan pendidik akademik tetapi lebih kepada kerohanian dan pembinaan sahsiah diri. Oleh itu teknik pengajaran dan sumber yang aku ambil tidaklah sama dengan pendidik akademik. Rujukan-rujukan ku mestilah 'balance' antara buku, majalah, suratkhabar, maqalah atau yang sama jenis dengannya dengan Al-Quran dan Sunnah. Hidup terbina dari pelbagai sumber iaitu hukum akal, hukum adat dan hukum syarak. Tugasku adalah menekankan tentang perlunya keseimbangan semua hukum-hukum dalam hidup ini dalam kita melayari hidup ini. Terlebih pada satu-satu perkara akan membuatkan kita pincang tugas dan pastinya ia akan memberi kesan yang bukan sedikit kepada seseorang itu.

Tujuan aku menjemput mereka datang ke rumahku adalah untuk berkenalan dengan lebih rapat tentang mereka dan aku ingin mereka melihat cara hidup sebenar seorang wanita yang sentiasa bercakap tentang kehidupan kepada mereka. Alhamdulillah sepanjang berada di rumah senyuman sentiasa tersungging di bibir mereka. Gelak tawa menghiasi suasana. Sesi bergambar menjadi sebuah platform kepada mereka untuk menunjuk aksi. Aku gembira.. kerana menggembirakan orang lain adalah satu perbuatan yang dituntut di dalam Islam.

Wahai pelajar-pelajarku kamu bukan saja hanya pelajarku tetapi kamu adalah salah satu sumber kekuatan bagiku untuk menjadi seorang yang lebih baik..

Bismillahirrahmanirrahim..
Rabbana hablana min azwajina wazurriatina kurrata'ayun waja'alna lilmuttaqina imama....." Sodaqallahul'azim.

Ya Allah Yang Jiwaku di TanganMu..
Terimalah amalanku..
Terima lah jariahku sebagai sebuah kebajikan bagiku ..
Sebagai sebuah sedekah bagi mereka..
Hanya Engkau Yang Mampu..
Amin amin..

22 Julai 2015

Akulah penglipurlara..

Semalam telah berlangsung kelas yang kedua. Diamanahkan pelajar seramai 40 orang kepadaku. Lelaki dan perempuan bersama di dalam sebuah ruang selesa untuk berkongsi segala ilmu bersamaku.

Aku cuba sedaya upaya untuk 'membaca' raut wajah tiap pelajarku.. wajah suci.. penuh harapan agar kelas ini akan dapat memberi 'sesuatu' kepada mereka. Tidak kurang juga yang berwajah lesu.. gambaran hati yang membatu (mungkin)..

Mereka belum mengerti apakah yang akan 'dihadiahkan' kepada mereka oleh wanita ini. Walau baru sebentar bersama.. berhadapan muka.. bergelak ketawa.. berkongsi cerita namun dalam hati ini telah terbit rasa kasih.. mereka bagaikan anakku sendiri.. tiba-tiba teringat Nana.. puteri hatiku.. tentu dia juga merinduiku.. sudah tentu!!

Tiada kata dapat kuluah.. tiada gambaran mampu kupersembah.. tiada rasa dayaku helah.. aku memang menyayangi kamu semua.. walau kasih sayangku bertahap-tahap tapi ia masih di dalam uncang yang sama iaitu di dalam hatiku ini.

Moga kasih antara kita semua akan berkekalan hingga hujung nyawa.

Kepada pelajar baruku.. jadikanlah kelas kita medan untuk kita sama-sama berlatih menggunakan senjata kehidupan.. hebat tidaknya kamu terletak di tangan kamu sendiri..saya hanya sebagai pembimbing.. pemudahcara dan penglipurlara...

Kelas

Petang ini ada kelas.. ikut silibus hari ini kena sentuh bab poligami, poliandri dan monogami.. biasanya tidak banyak yang kuhurai tentang tajuk ini kerana bagi pelajar-pelajar yang belum pernah memasuki alam perkahwinan perkara ini tidak begitu menarik perhatian dan keinginan mereka.

Maklum sajalah sebagaimana yang kita tahu setiap orang yang belum berkahwin akan sentiasa berharap biarlah 'pak we' dan 'mak we' mereka itulah yang akan jadi jodoh mereka dan kekal ke akhir hayat.. Lainlah jika orang yang sudah berkahwin, rasa 'kasihan' atau 'ingin melindungi' mula menyerap ke dalam hati.. dan mula berazam untuk memperluaskan lagi 'cawangan' dan memikul lebih banyak tanggungjawab bagi meraih pahala yang lebih juga(sangka baiklah...). Jangan pula ada yang marah dengan kenyataanku ini kerana ini adalah pandangan peribadiku saja..hehehe..

Sebagai kesinambungannya aku akan menyentuh tentang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor serba sedikit sebagai imput kepada pelajar dan bagaimanakah poligami boleh dikaitkan sebagai salah satu jenayah.

Moga diberi ilham yang banyak untuk menyampaikannya secara lebih mudah kepada mereka semua.

Kelas

Semalam kelas berjalan seperti biasa. Alhamdulillah kehadiran penuh 100%. Amat payah untuk mencapai kehadiran sebegitu. Tiap minggu biasanya akan ada sahaja pelajar yang ada keuzuran atau masalah yang tidak dapat dielakkan.

Memandang wajah-wajah suci itu membuatkan aku merasakan bahawa begitu besar amanah dan tanggungjawab yang aku sedang pikul sekarang ini. Walau hanya dua jam seminggu namun tanggungjawabku bukan sedikit. Sebaris ayat yang aku sampaikan jika diambil serius maka tidak mustahil akan dapat menyelamatkan sebuah keluarga. Begitu juga sebaliknya.

Mengajar mereka seolah mengajar anakku sendiri. Bagaimana mereka tertawa bila aku melawak, bagaimana mereka menunduk dan mengalihkan wajah apabila dimarah dan ditegur..semuanya serupa dengan anak-anak kita.

Pada sesi tazkirah awal semester dulu aku selalu menegaskan bahawa walaupun aku berdiri di hadapan dan mereka hanya duduk memandang namun tidak bermakna aku perlu menguasai sesi pembelajaran. Aku lebih suka perbincangan berbanding memberi syarahan.

Hormati yang tua kerana mereka hidup lebih lama dari kita, mereka telah meraih pahala lebih banyak dari kita. Hormati yang lebih muda dari kita kerana mereka tidak mempunyai dosa sebanyak kita.. itu kata guruku..

Ada kebenarannya..

Apa yang aku harapkan mereka dapat mengaplikasikan apa yang aku sampaikan sebagai satu cara hidup. Bukan hanya sebagai memenuhi kotak-kotak kehadiran setiap sesi.

Aku halalkan ilmu yang kusampaikan kepada mereka.. semoga ada kebaikan buat semua. Insyaallah.

Pelajar

Semester ini hampir tiba kepenghujungnya. Aku turut sama meraikannya. Bukan dengan sorak sorai tetapi lebih kepada berfikir dan mentafsir. Menilai sifat manusia tidak semudah menimbang sekilo beras mahupun gula.

Mata memandang, hati berbisik, minda terbuka untuk mencerna dan mentafsir. Hasilnya nanti adalah apabila slip peperiksaan dikeluarkan.

Bagaimana agaknya wajah mereka jika melihat huruf yang di'hadiah'kan tidak seperti yang mereka mahukan? Kecewa? Redha? Putus asa? Alahai.. tidak sanggup rasanya.

Namun apapun jika terbaik yang mereka mahukan maka mereka perlulah melakukan yang terbaik. Apa yang mereka buat pasti akan mendapat balasan/hasil yang setimpal dengan usaha dan ikhtiar yang dilakukan.

Dalam perkara ini, aku kena adil. Beri pada yang hak.

Siapa Boleh Jawab?

Bismillahirrahmanirrahim..
Salam..

Alhamdulillah sekali lagi aku diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk terus melihat mentari pagi.. Masih diberi kesempatan untuk bernafas di bumiNya ini.. Sekali lagi juga aku diberi peluang untuk mencoretkan kata hati di lembaran ini.

Dipagi ini hati terasa begitu syahdu.. semuanya rentetan dari apa yang berlaku kepadaku sejak akhir-akhir ini.

Hidup berputar umpama roda..semua orang sering memperkatakannya. Ia lebih tertumpu tentang silih gantinya perasaan suka dan duka, gagal dan berjaya di dalam kita meniti kehidupan. Namun pernahkah kalian mengalami situasi dimana apa yang pernah berlaku 10 atau 20 tahun lalu berlaku sekali lagi di putaran kali ini? Jelas maksudku? Contoh: pada usia 15 tahun kamu ditemukan dengan seorang hamba Allah dalam situasi begini-begini (dan ketentuan takdir telah memisahkan kamu dengan sebab begini-begini) dan pada hari ini setelah 10 tahun berlalu (pada usia 25 tahun) kamu ditemukan sekali lagi dengan orang yang sama dalam situasi yang sama. Adakah ini suratan atau kebetulan?

Benar sekali bahawa roda hidup memang berputar.. buktinya situasi di atas. Jadi, sebagai manusia biasa sekiranya pertemuan pertama menemukan kamu dengan kekecewaan maka adakah kamu menginginkan pertemuan kedua ini berlaku? Adakah kemungkinan pertemuan kedua ini akan membawa kebahagiaan atau membawa kekecewaan sebagaimana pertemuan pertama? Siapa boleh jawab? Silakan...

Duit? Kawan? Cinta? (1)

Bagi kamu apakah sebenarnya yang lebih penting dalam hidup ini? Duit,Kawan atau Cinta?

Jika aku diberi soalan sebegitu jawapanku adalah KAWAN.

Bukan aku tidak memerlukan duit mahupun cinta.. malah kerana ketaksuban aku terhadap cintalah aku masih lagi keseorangan hingga kini.. tetapi jika kita fikirkan sedalam-dalamnya dengan KAWAN kita mampu bergelak ketawa.. Jika menangispun tidaklah lama..
Mereka sentiasa ada tak kira masa.. Walaupun tanpa 'komitment' mereka terpanggil untuk setia. Berkawan tidak bersyarat.. yang penting kita saling hormat.

Tapi ini bagiku.. mungkin tidak sama dengan kalian semua.. so tepuk dada tanyalah citarasa..

Nota: Akan ada perbahasan lain dalam catatan akan datang..

Wanita ini

Ingin menulis lagi
Meluah rasa hati
Yang terpendam di sanubari
Buat catatan bicara sepi
Sebelum jiwa ini mati
Sebelum jasad ini didakap bumi
Sebelum nama ini tidak lagi didengari

Ingin aku merakam kata
Didalam sebuah catatan masa
Untuk tatapan waris yang ada
Agar mengenal nenek moyangnya
Yang pernah hidup melara
Pernah juga bergelak ketawa

Hidupnya sepi seakan mati
Ketika ditinggal wali sendiri
Dituruti pula kekasih hati
Sepilah dia di muara janji

Datang cahaya memberi harapan
Kekasih bukan cintanya pun bukan
Tapi cukup sebagai jambatan
Untuk dia bertemu tuhan

Dipenghujung harinya bicara perlahan
Angkuh dan sombongnya jatuh berserakan
Hatinya lembut bak rambut perawan
Sentiasa cuba memberi pengertian

Wanita ini seorang pengembara
Menuju tuhan yang Maha Kuasa
Dunia baginya tiada apa
Akhirat jua idaman hatinya

Hanya ini...

Dia hanyalah manusia biasa, yang tidak punya apa-apa selain rasa cinta dan ingin dicintai oleh seorang insan bernama wanita.

Dia pernah melalui saat-saat gelap dalam hidupnya. Pernah menjadikan ego dan nafsu sebagai tuhan, pernah berbuat salah dan aniaya. Pernah juga menzalimi diri dan keluarganya.

Namun..
Saat itu sudahpun berlalu.. hari-hari yang berlalu semakin menjauhkan dirinya dengan kehidupan lalu. Dia kini semakin mulia jiwanya, semakin lembut hatinya, semakin tinggi hormatnya sesama manusia, semakin lunak kata-katanya.. semakin amanah dalam tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Semoga dia akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Semoga hidayah Allah akan lebih mengisi diri dan jiwanya.

Hanya ini yang mampu dilakukan sebagai insan terdekat dengannya. Hanya ini...

Hanya Sebuah Luahan...

Rindu?
Rindu pada yang tak rindu pada kita, elok dibiarkan saja.

Sayang?
Sayang pada yang tak sayang pada kita, halalkan sahaja.

Benci?
Benci pada orang yang bencikan kita tidak akan menjadi apa.
Benci pada orang yang sayangkan kita, zalim namanya.

Harap?
Harap kepada yang boleh diharap, 50% akan tercapai.
Harap kepada yang tidak perlu diharap, hanya membuang masa.

Kagum?
Kagum kepada yang berjaya, suatu motivasi minda dan tindakan.
Kagum kepada sesuatu yang tidak baik, menempah kehancuran namanya.

Katanya...

"Jangan difikir berapa besar impian kita itu, yang perlu difikir adalah berapa besarkah kita untuk impian itu"

Apa Sebenarnya Yang Kita Mahu?


Salam dan Salam Sejahtera,

Setiap manusia di dunia mempunyai pandangan yang berbeza tentang kehidupan.. yang mana darinya akan membeza arah tuju kehidupan itu sendiri.

Ada yang senang dengan kesenangan dan susah dengan kesusahan. Ada yang terasa payah dengan kepayahan dan ringan dengan keringanan. Siapa yang tidak mahu senang? Siapa yang mahu susah?

Namun percayakah anda ada juga insan yang senang dengan kesusahan dan ringan dengan kepayahan (atau ada insan yang susah dengan kesenangan dan payah dengan keringanan?? Mungkin ada tapi dapat dibilang dengan jari barangkali) kerana itu aku katakan itu semua terpulang kepada cara kita memandang sesebuah kejadian dan kehidupan itu sendiri.

Semua ini ada penjelasannya.. perlu dikaji banyak perkara termasuk prinsip dan persepsi seseorang itu terhadap kehidupan ini, barulah kita akan dapat jawabannya.

Selesanya kita..

Kita selesa dilahirkan sebagai seorang anak oleh ibu bapa yang kita sayangi
Kita selesa menjadi seorang ibu/ayah kepada anak-anak yang comel dan menghiburkan
Kita selesa menjadi suami/isteri kepada pasangan yang dengan rela menemani kita menyelusuri jalan kehidupan
Kita selesa diberi jawatan yang kebiasaannya sesuai dengan minat dan kemampuan kita
Kita juga selesa diberi harta yang bersesuaian dengan citarasa dan kehendak kita

Logiknya:
Keselesaan ini boleh membuat kita menjadi seorang yang sangat menghargai kehidupan dan insan-insan di sekeliling kita..

Namun pernahkah kita terfikir ada kemungkinan keselesaan ini akan membuatkan hidup kita hambar tidak bervariasi?
Mungkin juga keselesaan ini akan membuat kita menjadi seorang yang pentingkan diri?
Mungkin juga keselesaan ini menjadikan kita seorang yang tidak maju dan akan terus berada ditahap itu sampai akhir nanti?

Hanya untuk difikirkan oleh yang ingin berfikir..

Persoalan ini...(1)

Rindu pada yang telah tiada.. sungguh menyeksakan..
Rindu pada yang di depan mata.. sungguh membimbangkan..
Rindu pada yang tak pernah ada.. sungguh memalukan..

Kasih yang dalam sesama manusia.. sungguh merimaskan..
Kasih yang dalam pada yang telah tiada.. sungguh mengharukan..
Kasih yang dalam pada yang tidak menyayangi kita.. sungguh menyedihkan..

Harap pada yang tiada.. sungguh mengecewakan
Harap pada yang di depan mata.. sungguh mengujakan
Harap pada yang belum tentu ada.. sungguh menakutkan

Perlukah rindu?
Perlukan kasih?
Perlukan harap?

Perlu.. tapi jangan terlebih..

Buatmu Sahabat

Teman
Hadirmu bermuqadimah mimpi
Diilhamkan oleh Illahi
Memberi satu anugerah
Dipertanggungjawabkan satu amanah

Dari kawan menjadi teman
Dari hambar timbulnya perasaan
Rasa kasih tidak bertepi
Rasa bahagia tidak terkata

Hari berlalu tanpa dipeduli
Tawa dan tangis saling mengisi
Cemburu dan curiga tidak dapat dinafi
Namun tak mampu bermimpi untuk memiliki

Sayangku padamu tidak bersyarat
Kasihku padamu tak akan mengikat
Tapi kini aku pasrah
Kerna antara kita tak akan ada penyudah

Kini aku bebaskan dirimu
Terbang riang di dunia milikmu
Berenang di lautan ciptaan mindamu
Menyusur akar realiti hidupmu

Walau kasih aku terpaksa menyisih
Walau sayang aku juga terpaksa terbang
Gundah hatiku biarku kemam
Luka hatiku biarku pendam

Melepaskanmu umpama melepaskan semangatku
Meninggalkanmu umpama mencacatkan diriku
Namun demi kebahagiaanmu
Aku relakan pemergianmu..

Nukilan: Natamulia, Disember 2009

Untuk Mu

Tanpa sinar mata
Tanpa getar suara
Tanpa hangat sentuhan
Tanpa perlu berpegangan
Kita Saling menghiburkan
Tangisan kita redakan
Gelak tawa sama ceriakan
Ada rindu dalam hati
Ada sayang tersembunyi
Kita bersama kerana Allah
Jika berpisah tidak gelisah
Mungkin hanya sebagai sahabat
Namun keikhlasan kita cukuplah hebat
Tak mungkin ada benci
Walau terpisah ditakdir Illahi
Biar sayang berkekalan
Biar kasih berpanjangan
Biar rindu menyambungkan
Hati kita yang kegersangan..

(Ogos 2009)
Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk terus menapak di bumi bertuah milik-Nya ini. Berazam untuk memperbaiki diri walaupun saya tahu sebenarnya memang susah. Puas juga cuba tabah tapi setiap kali itulah ujian yang lebih besar datang menjengah. Airmata usah dicerita namun pengalaman saya makin saya menangis makin saya lega dan makin jernih fikiran saya. Selepas menangis semuanya kembali tenang dan ketika itu saya semakin boleh berfikir dengan lebih baik. Mungkin itu salah satu hikmah airmata yang Allah berikan kepada manusia.

Saya bukanlah seorang yang warak. Ada ketikanya saya leka dan kadangkala dek kesibukan dunia saya melakukan amal ibadah dengan sekadarnya sahaja. Hanya melakukan yang fardhu dan tidak menambah dengan yang sunat. Melakukan atas sebab ia adalah kewajipan yang jika ditinggalkan akan menyebabkan saya dimurkai Allah. Namun begitu saya cuba sedaya upaya untuk tidak merasa terpaksa.

Ketika Ramadhan yang lalu, saya menyertai kumpulan Tadarus. Tahun-tahun sebelumnya juga saya tidak pernah ketinggalan menyertai rakan-rakan yang lain namun Ramadhan kali ini, saya merasakan kelainannya. Saya teruja mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari rakan-rakan saya. Ada yang membaca tanpa lagu tetapi tajwid dan makhraj hurufnya tepat dan sangat cemerlang. Saya ni hanya boleh dikategorikan sebagai pembaca yang sederahana. Saya tidak membaca dengan laju kerana cara saya memang suka membaca berlagu. Dibulan-bulan lain juga saya memang membaca Al-Quran hampir setiap malam namun yang ingin saya kongsikan di sini adalah jika kita membaca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh, dengan minat dan penuh penghayatan ia merupakan suatu pengalaman manis yang begitu indah dan asyik. Sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan tetapi hasil dari amalan selama sebulan itu saya merasa 'sayang' mahu meninggalkan Al-Quran walaupun sehari. Masyaallah..

21 Julai 2015

Alhamdulillah.. Sehari lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk menapak di bumi-Nya, menghirup udara syukur kesetiap pembuluh darahku.

Mohon semoga Allah SWT terus melimpahkan hidayah-Nya kepadaku. Semalam aku lena dalam kemarahan yang masih bersisa. Kecewa dengan diri sendiri. Diri ini bagaikan tidak sedar diri kerana berharap pada sesuatu yang tak pasti. Mungkin juga usahaku belum cukup untuk menggapai segala impian yang kubina sendiri. Aku tidak mampu memaafkan semua orang ketika mahu lena malam tadi. Aku betul-betul tidak mampu.

Aku merasakan betapa aku tidak dihargai, betapa pengorbananku tidak langsung bererti. Inilah akibatnya jika terlalu berharap kepada manusia.

Astaghfirullahal'azim.. semoga Allah mengampunkan semua salah dan dosaku.. aku manusia alpa!

19 Mac 2015

Kembali

Hari ini saya mencuba untuk menjengah semula blog yang telah sekian lama tidak saya selenggara. Kesibukan tugas, menguruskan rumahtangga dan pengajian menjadikan semuanya kelihatan begitu sukar bagi saya.

namun saya harus terus kuat melalui semua ini demi kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang. Impian tanpa usaha pasti tidak menjadi kenyataan. Kesibukan keseharian di pejabat dan terkadang perlu melakukan kerja luar berhari-hari menjadikan saya betul-betul penat namun saban malam walaupun sekadar 10-15 minit saya akan memaksa diri untuk menyelak buku-buku nota. Saya tidak mahu memanjakan diri dengan kerehatan yang berlebihan.

Ketika usia menganjak senja ini saya baru Nampak jalan mana yang ingin saya pilih. Saya tidak lagi memilih dalam bidang Kaunseling mahupun psikologi. Bukan juga bidang Komunikasi Korporat yang sedang saya lakukan sekarang. Saya ingin menjadi PENULIS dan melibatkan diri dengan penulisan tidak kira dalam genre apa.

Kini, saat ini saya sedang berusaha kearah itu. Doakan saya..