09 Mei 2012

Sakit..

Beberapa hari ini aku dan suami diserang sakit perut yang tidaklah kuat tekanannya tetapi kerap mengakibatkan kami ke tandas. Senang kata cirit birit. Bagi aku jika diserang di pejabat ia jadi lebih mudah kerana ada pilihan untuk menggunakan tandas duduk. Keadaan diri yang semakin berubah bentuk dan saiz ni tandas duduk sangat-sangatlah membantu. Ia menjadi sukar apabila di rumah kerana jenis tandas yang berbeza. Bagi suamiku pula, di tempat kerjanya tidak membantu dia langsung. Setiap kali ini melakukan qadak hajat terpaksalah dia 'start' enjin dan pergi ke pusat pembuangan berhampiran. Kesian.

Hendak dijadikan cerita, malam semalam dia mengadu sakit perutnya semakin menjadi-jadi. Ayatnya itu mengingatkan aku akan perlakuannya pada beberapa malam sudah. Aku melihat dia kerap benar mengadap botol ubat (yang aku wujudkan untuk menyimpan ubat-ubatan yang kami dapat dari klinik-yang pasti ubat-ubatan yang masih sah tempoh penggunaannya).

Sudah beberapa malam aku melihat sahaja dari jauh perlakuannya tanpa menegur tetapi malam tadi apabila dia mengatakan sakit perutnya semakin menjadi-jadi membuatkan aku mula bersuara. "Asyik makan ubat, entah ubat apa-apa mana lah perut tu tak sakit" itu kesimpulan yang aku buat sendiri tanpa ilmu perubatan. Senang kata andaianlah..

Dia cuba membela diri dengan mengatakan dia mencari ubat cirit birit. Selepas itu aku buat tak nampak apa yang dia buat, apa yang dia makan tetapi pagi tadi sebaik aku membuka mata.. tiba-tiba terlintas di fikiranku.."kenapalah asyik nak salahkan orang lain sedangkan tidak mustahil ia mungkin juga berpunca dari aku, walau tidak sepenuhnya?"

Pantas aku bangkit, bersihkan diri dan terus memulakan tugas yang telah lama tidak aku lakukan. Hampir 2 minggu aku tidak menyediakan bekal untuk dia menyebabkan dia terpaksa membeli makanan pagi dan tengahari di luar. Kekerapan itulah agaknya yang menyumbang kepada masalah kami berdua kini.

Sambil memasak hatiku sebak, namun sedaya mungkin aku menahan. Alhamdulillah akhirnya siap juga masakanku tepat pada masa dia mahu bergerak ke tempat kerja.

So.. hari ini kami semua tidak membeli makanan di mana-mana. Insyallah kebersihan makanan itu terjamin kerana aku yang masak sendiri! Harap kami tidak mengunjungi tandas sekerap semalam dan kelmarin. Insyaallah..

02 Mei 2012

Aktiviti Januari hingga April 2012

06/01/2012 - Mesyuarat Jawatankuasa MDAB
19/01/2012 - Mesyuarat KOIR
20/01/2012 - Latihan KOIR
25/01/2012 - Raptai Hari Inovasi
26/01/2012 - Hari Inovasi 2011
27/01/2012 - Tazkirah Jumaat
30/01/2012 - Mesyuarat Laman Web
31/01/2012 - Perutusan Amanat Tahun Baru 2012

01/02/2012 - Mesyuarat Maulidurrasul
05/02/2012 - Kunjungan Alumni
10/02/2012 - Mesyuarat ES2012
11/02/2012 - Pameran sempena Karnival 1 Malaysia
13/02/2012 - Kunjungan ke pejabat-pejabat kerajaan untuk edaran surat dan poster MDAB
14/02/2012 - Taklimat Multiskiling
16/02/2012 - Majlis Maulidurrasul
16/02/2012 - Jemputan memberi ceramah 'Menghadapi Ujian Akhir'
17/02/2012 - Ke Pejabat Penerangan Segamat
17/02/2012 - Ke Seri Laksamana untuk persiapan Bengkel Laman Web
18/02/2012 - Bengkel Laman Web
19/02/2012 - Bengkel Laman Web
25/02/2012 - Program Merakyatkan Seni dan Budaya Padang Awam Jementah
28/02/2012 - Taklimat kepada Kaunselor Sekolah

01/03/2012 - Road Tour MDAB ke Muar
07/03/2012 - Road Tour MDAB ke Mersing
09/03/2012 - Bengkel Ulangan Laman Web
11/03/2012 - Road Tour MDAB ke Mersing
11/03/2012 - Road Tour MDAB ke Pontian
15/03/2012 - Road Tour MDAB ke Kg Area Buloh Kasap
16/03/2012 - Road Tour MDAB ke Batu Pahat
17/03/2012 - Road Tour MDAB ke Bandar Tenggara
18/03/2012 - Road Tour MDAB ke Kota Tinggi
19/03/2012 - Mesyuarat JK Debat
21/03/2012 - Road Tour MDAB ke sekitar Labis
22/03/2012 - Perjumpaan dengan Perunding Akademik SE2012
23/03/2012 - Ke tapak Ekspo
24/03/2012 - ES2012
25/03/2012 - ES2012
27/03/2012 - Road Tour MDAB ke Tanjung Sedili dan Pengerang, Kota Tinggi
30/03/2012 - Program Pearson Innovation in Publishing

03/04/2012 - Pameran Pendidikan di Pontian
03/04/2012 - Pameran Pendidikan di SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar
04/04/2012 - Mesyuarat Jom Borak Buku
06/04/2012 - Perjumpaan juri debat
09/04/2012 - Mesyuarat ICIEB 2012
14/04/2012 - Pameran Pendidikan di Padang Awam Bukit Kepong
15/04/2012 - Pameran Pendidikan di Sepinang
19/04/2012 - Lawatan SMK Palong Timur
21/04/2012 - Program Astro Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia 2012 - Padang Awam Pemanis 2
22/04/2012 - Program Astro Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia 2012 - Padang Awam Pemanis 2
26/04/2012 - Pesta buku
27/04/2012 - Pameran Pendidikan SMK Tun Sardon, Rengit Batu Pahat
30/04/2012 - Majlis Perpisahan Tn Hj Mohd Yusof Mustapa

Sajak Khas Buat Tn Hj Mohd Yusof Mustapa

Teman..
Disaat sinar mentari daksina (selatan)
Mengering embunan bercahaya
Kususun langkah penuh makna
Demi sebuah amanah
Oleh Yang Maha Kuasa
Oleh mereka yang percaya

Namun
Sedarkah kalian?
Sebenarnya ia tidak semudah kata
Kerna apa yang tergalas di bahuku ini
Apa yang terjunjung di jemalaku ini
Adalah.. antara hidup dan mati
Adalah penentu antara Jahim dan Firdausi

Namun... setidak-tidaknya
Aku mampu berbangga
Kerana di sini aku menjadi diriku
Yang tidak mencair dek pujuk rayu
Yang tidak buta dek wang beribu

Dan pastinya nanti
Walau ke utarapun aku pergi
Akan tetap kubekali
Segenggam azam
Selaut semangat dan jati diri
Yang tidak mungkin terkhianati
Oleh haloba nafsu serakah duniawi

Teman
Enam belas tahun sekian lama ini
Di tanah selatan bersejarah tersendiri
Segalanya kan terus terpatri
Menjadi arca kenangan abadi
Yang tak akan terpadam kehujung hari

Teman
Hamba hanyalah insan biasa
Yang tidak terlepas dari terleka
Yang tidak sunyi dari berdosa
Kemaafan kalian kujadikan azimat
Doa kalian ku jadikan keramat
Kerna UiTM telah lama tersemat
Sejak dulu hingga kehujung hayat.

Nukilan:
Natamulia

Telah dideklamasikan sendiri oleh penulis dalam Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih, 30 April 2012 di LT1.

29 April 2012

IMAN

Ingin sekali merakamkan pengalaman selam 9 bulan ini namun aku benar-benar tidak mempunyai masa yang cukup untuk mencoretkannya di ruangan maya ini. Namun seboleh mungkin aku akan cuba.. cuba dan cuba menulis semaksimum mungkin pengalaman itu. Kami memang merancang untuk mempunyai walau cuma seorang zuriat sebagai tali pengikat kasih antara kami. Walaupun kesediaan ini timbul setelah setahun lebih kami bersama dan pastinya mengundang seribu satu macam persepsi dari rakan-rakan dan saudara terdekat namun aku tidak peduli itu semua. Aku dan dia berpandangan perkara yang paling penting dalam merancang keluarga adalah kesediaan, keterbukaan dan kesihatan yang baik dan mengizinkan. Berbicara tentang kesihatan, selain faktor umur aku sememangnya mempunyai sejarah sakit lampau yang sesekali datang menjengah namun kali ini aku nekad. Aku mesti melalui dugaan ini demi impianku dan suami. Alhamdulillah. Percubaan yang mudah dan akhirnya kami berjaya. Aku disahkan mengandung 7 minggu. Gembira tidak terkata, syukur dan puji pada Dia yang Maha Pemurah tidak berhenti-henti terlafaz dari bibir. Kegembiraan ini kukongsikan bersama dia yang memang sepatutnya. Juga kepada rakan terdekat dan saudara mara. Aku tidak pernah bersikap begini sebelum ini. Dulu, jika aku berbadan dua, seboleh mungkin aku akan merahsiakannya dari sesiapa termasuk suamiku (bekas suamiku) sendiri tetapi berbeza pada kali ini.. dan sejak itulah aku mula beraksi, bertindak dan bersedia menjadi seorang wanita hamil, seorang ibu yang bakal menimang seorang lagi cahaya mata. Doaku saban hari adalah semoga aku dikurniakan seorang putera kerana aku telahpun mempunyai tiga orang puteri dan seorang putera tiri. Aku tidak berhenti berdoa dan meminta namun ketika kandunganku berusia enam bulan doktor yang melakukan ultra sound memaklumkan bahawa bayi dalam kandunganku adalah seorang perempuan. Ketika itu aku terkedu. Tiba di rumah aku terus masuk ke bilik, berbaring dan hanya berdiam diri sehinggalah suamiku datang menghampiri. Dia kelihatan gembira dengan khabar dari doktor berbeza sekali dengan aku ketika itu. Airmataku menitik tanpa dia melihatnya. Selepas itu aku beraksi biasa walaupun sebenarnya hatiku sebak tidak terkira. Mungkin ada yang mengatakan aku seorang yang tidak bersyukur.. mungkin ia betul tetapi sebagai seorang manusia biasa, seorang ibu yang umurnya telahpun hampir ke 'border' pastinya semua ini sedikit sebanyak memberi kekecewaan kepadaku. Ini peluang terakhirku dan ternyata permintaanku tidak selayaknya untukku. Masa berlalu.. kumasih memujuk hati.. Masih ku amalkan membaca surah Luqman, Yusof dan Yassin.. Surah Mariam jarang kujengah kerana dalam hati berharap agar yang sedang membesar di rahimku ini adalah seorang khalifah yang bakal membimbing kami sekeluarga dan masyarakat besar nantinya. Tiap kali mendengar azan dikumandangkan di TV atau radia atau masjid dan surau, hatiku berbunga-bunga. Terlalu-lalu ingin suara itu nanti adalah milik anak dalam rahimku.. sungguh dahsyat anganan dan harapanku itu.. hingga mampu menyesakkan dadaku.. hanya Allah SWT yang tahu. Masa terus berlalu.. nama telahpun aku dapatkan dan pastinya seperti selalu, aku akan pastikan aku yang akan menang dalam proses memilih nama bayi. Sejak awal hamil lagi aku telah membiasakan memanggil bayi dalam kandunganku dengan panggilan IMAN. Tidak kiralah dia lelaki atau perempuan namanya nanti tetap IMAN. Iman semakin aktif bergerak di dalam sana. Akan bertindak balas bila kami memanggil namanya. Semakin hebat dan comel. Aku benar-benar merasai proses kehamilan ini sebaiknya. Pengalaman yang tidak mampu aku lupakan sehingga bila-bila. Kini hari melahirkan semakin hampir. Iman semakin mesra denganku.. pakaian dan segala persiapan buatnya telahpun aku lakukan tetapi masih secara sederhana. Kelahiran Iman sedang kami semua nantikan. Ia menjadi semakin menekan jiwaku apabila melihat kaki dan tanganku membengkak.. bangun dudukku, tidur baringku serba tidak kena dan boleh dikatakan hampir tidak selesa tetapi aku percaya walau cuma sedikit kepayahan pasti akan diganjari dengan pahala dan kebaikan. Kini.. aku menunggu hari.. hati semakin redha.. tidak kira sama ada MOHD SYAKIR IMAN mahupun IMAN MARISA... aku telahpun pasrah dan redha.. kerana aku tahu aku tidak layak untuk menentukan apa jantina anakkua.. yang aku perlu tahu adalah.. walaupun Iman berlainan bapa dengan puteriku yang tiga itu, mereka semua adalah belahan jiwaku, yang lahir dari rahimku, yang akan aku susukan, akan aku besar dan didik sama rata. Semoga Iman akan menjadi penghubung kasih kami semua.. Ya Allah.. terima kasih atas kurniaanku ini.

22 April 2012

Selamat Hari Lahir...

20 April lalu merupakan hari lahir suamiku.. kesibukan tugas dan kesihatan yang tidak begitu baik membuatkan aku tidak dapat mengadakan majlis untuknya.. walaupun hanya sebuah majlis ringkas.. i'm so sorry dear tapi akhirnya sempat juga aku dan Nana pergi membeli sebiji kek dan kami menyambut hari lahirnya di dalam kereta.. dengan sebuah dendangan lagu sumbang.. Selamat hari jadi.. dia tersenyum-senyum kelat.. ada sayu pada wajahnya.. kek dipotong dalam kesamaran cahaya di dalam kereta. Kami doakan abang panjang umur, diberi kesihatan yang baik, jadi insan yang lebih cemerlang dan berjaya dunia dan akhirat. Sekali lagi Selamat Hari Lahir suamiku.. Azman.

16 April 2012

dan lagi...





Bergambar lagi..





Promosi MDAB serata Negeri Johor


Bergambar kenangan di hadapan Pejabat Penerangan Daerah Mersing (7.3.2012)


Bergambar kenangan bersama Ketua Kampung sekitar Endau, Mersing (7.3.2012)


Berbincang sebelum memulakan sesi.(7.3.2012)


Melayan pengunjung di Dewan Air Tawar Endau, Mersing (31.3.2012)


Jom Makan ramai-ramai.. (31.3.2012)

Hanya untuk berkongsi kenangan ketika mengadakan Road Tour Promosi MDAB di serata Negeri Johor. Semoga kami dapat membantu seramai mungkin anak-anak untuk mengubag destini mereka. Insyaallah..

Kenangan Awal 2012




Bergambar kenangan bersama kumpulan Rabbani. Walau sudah tidak disertai oleh Allayarham Ustaz Asri kumpulan ini masih mampu menjadi yang terbaik. Ikhlas mampu 'mencantikkan' kecacatan.



Bergambar kenangan bersama Azlee Senario ketika dia mengadakan persembahan di Dataran Segamat. (ada pengajaran disebalik perkenalan ini).


03 April 2012

Payah..

Payah sekali untuk menulis post kali ini kerana apa yang bakal aku catatkan ini bukanlah diriku yang sebenar..tapi inilah kenyataannya buat masa ini.

Semalam aku dan team pergi memenuhi jemputan dari SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar. Program separuh hari itu sungguh memberangsangkan apabila booth kami yang asalnya hanya mempunyai 2 meja, ditambah 2 lagi meja dan kemudiannya ditambah satu lagi bagi memenuhi keperluan. Ternyata kehadiran kami telah menyempurnakan permintaan pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan.

Namun begitu apa yang ingin aku nyatakan di sini adalah, aku benar-benar tidak dapat 'perform' semalam. Aku sendiri tidak pasti mengapa tetapi yang pasti aku betul-betul merasa tidak sihat. Tidak sihat yang aku rasakan ini tidak mampu untuk aku 'describe'kan tetapi ia benar-benar mengganggu dan menghalang pergerakan dan permikiranku. Apa telah terjadi pada aku sebenarnya? Apakah ia kerana ubat yang aku ambil pada malam sebelumnya?

Itu bukan aku, aku sememangnya seorang yang ceria, penuh semangat dan suka sekali bercakap apalagi menjawab tetapi semalam itu semua tidak berlaku. Dalam perjalanan balik aku membuka planner dan di situ tercatat beberapa mesyuarat dan event yang perlu aku hadiri/sertai.. jika selalu aku akan mula merancang jadual tugas agar tidak bertindih dengan tugasan lain tetapi apa yang mula-mula muncul di benakku adalah 'aduh..malasnya.. tak laratnya.." pheh! sungguh negatif dan 'pemalas' sekali. kenapalah aku jadi begini.

Aku langsung tidak mengambil sebarang makanan malam tadi, bukan tidak lapar tetapi aku seolahnya hilang selera, mahu ke dapur mengambil air untuk diminum sahaja aku tidak berdaya. Bukan tidak ada tenaga tetapi langsung tiada semangat. Suamiku menawarkan diri untuk mengambilkan makanan untukku tetapi aku balas sepi sahaja tawarannya itu. Kesian, lauk yang dia masak langsung tidak aku jamahi. Tidurlah aku dalam lapar dan dahaga.

Lenaku sering terganggu. Sekejap terjaga, terlena semula dan terjaga kembali. Sungguh menyeksakan. Jam 3 pagi aku sudah tidak mampu lena. Untuk bangun bersolat sunat juga aku tidak usahakan. Aku benar-benar sudah parah sekarang ini. Terdetik dihati andai aku dipanggil tuhan ketika ini, dalam keadaan apa agaknya aku nanti?

Payah sungguh untuk melalui keadaan ini kerana ini bukan aku. Aku rimas! Aku rimas!

Ya Allah.. bantulah aku melalui saat lohong dan kosong ini. Semangat sangatlah perlu dalam kita meniti hari dan kini semangat itu telah pergi dari diriku. Tak tahu kemana dan entah bila akan kembali..
Sedihnya....

27 Mac 2012

Jelajah Kota Tinggi 27 Mac 2012

Sebuah perjalanan yang menarik dan sesekali menggelikan hati. Semalam aku dan team ke Tanjung Sedili dan Pengerang. Tugasan kami mulakan dengan menjamah roti canai kari kambing 40 hari di Yong Peng. Ada juga yang hanya mengambil nasi lemak telur mata sebagai pemula hari.

Memang tidak menyangka sama sekali lawatan kami disambut dengan baik dan meriah. Di sana ada acara potong kek MDAB.. walaupun warna kek itu tidaklah mengikut tema tetapi tulisan yang tertera di atasnya adalah khas buat kami semua. (Terima kasih kepada Cikgu Alin di atas pemberian kek tersebut).

Terima kasih juga kepada YB Rasman di atas jamuan tengahari buat kami. Menu nasi putih, asam pedas ikan pari, ikan bakar, sambal sotong, tumisan kacang panjang, kari ikan ayam, ulam kacang bendi juga sambal belacan benar-benar menyelerakan hingga mengalir airmata kepedasan.

Singgah pula di Papan Timur, rumah bonda tercinta makan sekali lagi,nasi putih, lemak cili api ayam+ rebung+kacang bendi membuatkan bosku OG tak toleh kiri kanan. Ikan masak kicap idamanku akhirnya berjaya juga aku dapatkan. Kobis ditumis bersama udang melengkapkan hidangan.

Menuju ke Pengerang bertemu dengan Tok Penghulu Hidhir dan Ketua-ketua kampung yang peramah dan suka melawak menyempurnakan misi kami kali ini. Sebelum berlalu pulang kami sekali lagi dihidangkan dengan mee rebus dan satay ayam. Pheh. terkulat-kulat kami berenam nak menghabiskan makanan.

Gelak tawa menemani perjalanan pulang kami. Walaupun kami tiba di Segamat hampir jam 11 malam namun kami mengandaikan bahawa misi ini berjaya kerana sambutan dan respon dari mereka yang kami temui begitu menggalakkan.

Permintaan mereka agar kami berkunjung lagi buat kali kedua dalam masa terdekat ini nampaknya tidak dapat kami penuhi kerana masih ada lokasi yang belum kami jelajahi.

Semoga usaha dan ikhtiar kami ini akan mendapat restu dan rahmat dari Allah, semoga juga ia akan mendapat maklumbalas dan sokongan yang padu dari semua lapisan masyarakat. Amin..

Gambar-gambar akan aku sertakan nanti.