21 Julai 2014

Ia adalah sebuah permulaan..

Walaupun perjalanan saya dalam bidang penulisan telah saya mulakan pada tahun 2008 dan ianya bermula dengan menulis manuskrip sebuah novel namun hingga ketarikh ini masih belum ada sebuah novelpun yang dapat saya hasilkan. Manuskrip pertama telah siap pada penghujung 2012. Saya mengambil masa lebih 4 tahun untuk menghasilkan sebuah manuskrip yang benar-benar memuaskan hati saya. Saya agak cerewet dalam penggunaan bahasa. Bahasa yang manis sangat memberi kesan kepada pembaca. Itu pendirian saya.

Manuskrip pertama itu saya judulkan sebagai Cinta Tangkuban Perahu. Setelah melalui beberapa fasa pengeditan akhirnya ia siap dengan sedikit ketidakpuashatian (8%). Saya juga meminta pandangan dari rakan-rakan baik dan seorang novelis yang telahpun berjaya mencipta nama dari novel-novel beliau. Beliau adalah Pak Baharudin Kahar (penulis novel Senjakala). Beliau menyarankan agar saya mengubah judul tersebut namun akhirnya saya hanya mengubah sedikit sahaja menjadi Rindu Tangkuban Perahu.

Pada 2013 saya telah menghantar manuskrip tersebut menyertai sayembara yang telah dianjurkan oleh pihak ITBM. Setelah setahun menunggu akhirnya ternyata nasib masih tidak menyebelahi saya. Saya ambil kembali manuskrip tersebut dan mencuba nasib di Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah tidak sampai 6 bulan saya telah menerima sepucuk surat dari pihak berkenaan meminta agar saya membuat penambahbaikan terhadap manuskrip saya agar menepati standard Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya menerima semua ini dengan hati terbuka dan hari ini saya berazam sedaya upaya akan saya lakukan yang terbaik untuk memenuhi kehendak penerbit bagi memenuhi jua impian dan cita-cita saya.

Kini, dalam masa yang sama juga saya sedang menyiapkan manuskrip novel saya yang kedua yang bakal saya namakan Bonda Hikmah. Ia merupakan hadiah kedua saya buat suami dan anak-anak, mak juga adik beradik, guru dan juga rakan-rakan. Saya ingin menjadi pendidik melalui novel dan penulisan saya.

Semoga Ramadhan mubarak ini akan melimpahkan rezeki buat saya. Semoga hasrat saya ini mendapat pertolongan dari Allah SWT. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan