28 Mac 2016

Pengajian

Bagi yang belum maklum, sebenarnya sekarang saya sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam jurusan Pengajian Melayu (dengan kepujian). Ramai yang bertanya mengapa tukar bidang dihujung-hujung. Hehehe.. dulu saya pernah belajar dalam jurusan pentadbiran dan pengurusan, pernah juga menyambung dalam bidang Kaunseling namun akhirnya saya memilih untuk menyambung dalam bidang ini.

Inilah hakikat kehidupan. Tidak semestinya kita hanya menurut arus kehidupan. Kita perlu berubah dan kuasa mengubah itu ada pada kita. Berdoa kepada Allah semoga diberi ilham untuk berubah kemudian bekerja keraslah untuk itu.

Saya pernah gagal dalam hidup, pernah juga terhalang untuk menyambung pengajian atas factor-factor hidup juga namun kini setelah semua itu berlalu maka saya tidak mahu berlengah lagi. saya perlu memanfaatkan peluang masa dan kesihatan yang Allah berikan kepada saya dengan sebaiknya.

Salah satu sebab mengapa saya menyambung pengajian dalam bidang ini adalah kerana saya merasa sudah tidak berdaya lagi untuk bekerja dalam bidang ini. (saya bertugas di Unit Komunikasi Korporat) yang memerlukan komitment yang tinggi. Waktu bekerja, pelanggan yang perlu dilayani, idea, akur dan sebagainya membuatkan saya letih. Mungkin jika saya muda lagi, emm saya boleh saja melakukan semua itu seperti 5-6 tahun dulu. Kini segalanya terbatas dan saya bataskan. Keputusannya, saya perlu memilih satu bidang, satu pekerjaan yang saya suka, yang saya selesa, yang sesuai dengan jiwa dan usia saya.

Saya ingin menjadi seseorang pada hari-hari emas saya. Saya ingin mendidik dengan cara saya, saya ingin bercerita dengan cara saya, saya ingin berkongsi pengalaman dengan cara saya dan yang paling penting saya ingin capai apa yang saya inginkan dalam hidup saya sebelum saya dipanggil tuhan.

Dengan berbekal sebuah novel dan beberapa buku yang telah saya hasilkan bersama rakan, saya memilih untuk mendalami bidang ini. Saya mahu menjadi seorang penulis yang berilmu.

Doakan saya..kerana tidak lama lagi saya akan menduduki ujian akhir untuk semester ini. Seperti biasa rasa gementar.. apapun sekali lagi mohon doakan saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan