17 April 2016

Saya yang tidak punya apa..

Agak lama tidak menulis di ruangan ini. Kesihatan saya sangat tidak mengizinkan. Tambahan pula saya belum punya kekuatan untuk 'menceritakan' semuanya di sini. Saya sudah mencuba beberapa kali namun saya tidak mampu menahan airmata setiap kali saya menjengah ke ruangan ini. Sebak dan hiba tidak terlukiskan dengan perkataan.

Hari ini, saya mencuba lagi..

Pagi tadi saya mengambil inisiatif untuk berjumpa doctor untuk meminta pandangan dan nasihat tentang apa yang saya lalui beberapa minggu lalu. Dia meminta saya menceritakan kronologi kejadian dari A-Z. Terhenti seketika apabila dia mahu mencelah namun kemudiannya dia meminta saya meneruskan cerita.

Ada kekhuatiran di wajahnya. Saya dapat melihat dan merasakannya namun saya tidak mahu begitu cepat membuat konklusi. Akhirnya dia membuka mulut dan menjelaskan dengan teliti satu persatu tentang penyakit ini dan apa sebenarnya yang berlaku pada saya pada waktu itu.

Terkedu! Tergenang airmata saya mendengar bicara doctor. Saya tertunduk. Lesu dan rasa ralat mula menjalari di segenap urat nadi saya. Mahu menelan air liur saja rasa begitu payah.

Kiranya.. pada malam hingga ke pagi itu, sebenarnya saya dalam keadaan yang sangat merbahaya dan saya langsung tidak mengetahuinya. Saya pengsan sebanyak dua kali dan bangkit dengan confiden dan senang hati kerana gegata di badan sudah tidak lagi 'menggigit' kulit.

Dua orang doctor yang saya temui memberitahu jawaban yang sama..

"Awak masih hidup hari ini hanyalah kerana ajal awak masih belum tiba"...

Baru kini saya mula menyoroti tiap saat kejadian pada malam itu. Bagaimana gegata yang hanya bermula dengan sebutir saja akhirnya tumbuh melata di segenap tubuh dan wajah saya. Bagaimana saya tergaru-garu selama 4 jam tanpa henti dengan berharap segeralah semua itu berlalu kerana saya mahu tidur lena. Terasa-rasa bagaimana kosongnya dada saya ketika saya duduk dan berdiri untuk mengambil inhaler yang letaknya hanya beberapa tapak dari tempat pembaringan saya. Betapa saya masih mampu merasa kesakitan di dada bila nafas yang saya hela tidak tahu ke mana, terbayang samar-samar ketika saya terhumban ke belakang dan cuba bangkit lagi. Terbayang ketika saya sedar yang saya sedang terperosok di belakang pintu dengan muka yang calar melekat di daun pintu. Terbayang juga ketika saya sedar kali kedua saya sedang berbaring di atas lantai di dapur.

Semua itu jadi mimpi ngeri buat saya masa ini.

Ya Allah betapa kematian itu tidak bertabir.. betapa kematian itu hanya sesingkat pejam dan celik.

Andai ditakdirkan itu hari terakhir saya, pasti saya tidak sempat memohon maaf kepada semua, pasti tidak sempat untuk saya berterima kasih kepada semua, malah langsung tidak sempat berpesan walau sepatah kepada semua.

Saya tiada daya, saya tidak punya apa.. itulah yang saya rasa ketika itu sehingga saya menulis catatan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan