22 Julai 2015

Kelas

Semalam kelas berjalan seperti biasa. Alhamdulillah kehadiran penuh 100%. Amat payah untuk mencapai kehadiran sebegitu. Tiap minggu biasanya akan ada sahaja pelajar yang ada keuzuran atau masalah yang tidak dapat dielakkan.

Memandang wajah-wajah suci itu membuatkan aku merasakan bahawa begitu besar amanah dan tanggungjawab yang aku sedang pikul sekarang ini. Walau hanya dua jam seminggu namun tanggungjawabku bukan sedikit. Sebaris ayat yang aku sampaikan jika diambil serius maka tidak mustahil akan dapat menyelamatkan sebuah keluarga. Begitu juga sebaliknya.

Mengajar mereka seolah mengajar anakku sendiri. Bagaimana mereka tertawa bila aku melawak, bagaimana mereka menunduk dan mengalihkan wajah apabila dimarah dan ditegur..semuanya serupa dengan anak-anak kita.

Pada sesi tazkirah awal semester dulu aku selalu menegaskan bahawa walaupun aku berdiri di hadapan dan mereka hanya duduk memandang namun tidak bermakna aku perlu menguasai sesi pembelajaran. Aku lebih suka perbincangan berbanding memberi syarahan.

Hormati yang tua kerana mereka hidup lebih lama dari kita, mereka telah meraih pahala lebih banyak dari kita. Hormati yang lebih muda dari kita kerana mereka tidak mempunyai dosa sebanyak kita.. itu kata guruku..

Ada kebenarannya..

Apa yang aku harapkan mereka dapat mengaplikasikan apa yang aku sampaikan sebagai satu cara hidup. Bukan hanya sebagai memenuhi kotak-kotak kehadiran setiap sesi.

Aku halalkan ilmu yang kusampaikan kepada mereka.. semoga ada kebaikan buat semua. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan