23 Julai 2015

Bukan Hanya Sebuah Perhubungan




Salam dan Selamat Sejahtera..kepada diriku dan pembaca blog ringkasku ini.

Semoga kita semua sentiasa didalam rahmat Allah SWT. Dah terlalu lama aku tidak menulis di dalam blog ini. Kekangan masa dan tugas me'limit'kan untuk aku berbicara di ruangan maya ini tapi hari ini aku ingin menulis sesuatu yang bisa menjadi sejarah dan tatapan di suatu masa nanti.

Alhamdulillah pada 31 Januari 2010 yang lalu aku telah menerima kunjungan dari pelajar-pelajarku seramai kira-kira 30 orang semuanya. Baru menghadiri kelas kira-kira 4 kali dan secara jujurnya aku masih belum mampu mengingati nama setiap dari mereka kecuali ketua kelas lelaki dan perempuan. Aku cuba sedaya upaya menjadi pembimbing mereka dan dalam masa sama ingin sekali menjadi teman tapi mesra kepada mereka. Aku tidak mahu ada jurang yang memisahkan kami sehinggakan kelasku hanya akan menjadi seperti sebuah panggung wayang.. penonton hanya mampu menonton, gelak mahupun menangis dan komen akan dilontar sejurus kaki melangkah keluar dari panggung. Aku ingin menjadikan kelasku sebuah medan perbincangan, perdebatan dan perkongsian segalanya. Aku gembira bila melihat wajah mereka ceria dengan 'cerita' yang aku bawa.. dan aku juga mahu menunjukkan reaksi terkejut dan musykil apabila mereka melontarkan soalan dan kemusykilan. Aku inginkan sebuah perhubungan 2 hala antara kami.. dan kelihatannya kami berjaya mewujudkan sebuah suasana mesra dan ceria. Masa 2 jam yang diberi setiap sessi kami manfaatkan sebaiknya. Harapanku sebagai pembimbing aku ingin apa yang aku sampaikan dapat diterima semaksima mungkin. Aku bukan pendidik akademik tetapi lebih kepada kerohanian dan pembinaan sahsiah diri. Oleh itu teknik pengajaran dan sumber yang aku ambil tidaklah sama dengan pendidik akademik. Rujukan-rujukan ku mestilah 'balance' antara buku, majalah, suratkhabar, maqalah atau yang sama jenis dengannya dengan Al-Quran dan Sunnah. Hidup terbina dari pelbagai sumber iaitu hukum akal, hukum adat dan hukum syarak. Tugasku adalah menekankan tentang perlunya keseimbangan semua hukum-hukum dalam hidup ini dalam kita melayari hidup ini. Terlebih pada satu-satu perkara akan membuatkan kita pincang tugas dan pastinya ia akan memberi kesan yang bukan sedikit kepada seseorang itu.

Tujuan aku menjemput mereka datang ke rumahku adalah untuk berkenalan dengan lebih rapat tentang mereka dan aku ingin mereka melihat cara hidup sebenar seorang wanita yang sentiasa bercakap tentang kehidupan kepada mereka. Alhamdulillah sepanjang berada di rumah senyuman sentiasa tersungging di bibir mereka. Gelak tawa menghiasi suasana. Sesi bergambar menjadi sebuah platform kepada mereka untuk menunjuk aksi. Aku gembira.. kerana menggembirakan orang lain adalah satu perbuatan yang dituntut di dalam Islam.

Wahai pelajar-pelajarku kamu bukan saja hanya pelajarku tetapi kamu adalah salah satu sumber kekuatan bagiku untuk menjadi seorang yang lebih baik..

Bismillahirrahmanirrahim..
Rabbana hablana min azwajina wazurriatina kurrata'ayun waja'alna lilmuttaqina imama....." Sodaqallahul'azim.

Ya Allah Yang Jiwaku di TanganMu..
Terimalah amalanku..
Terima lah jariahku sebagai sebuah kebajikan bagiku ..
Sebagai sebuah sedekah bagi mereka..
Hanya Engkau Yang Mampu..
Amin amin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan