22 Julai 2015

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk terus menapak di bumi bertuah milik-Nya ini. Berazam untuk memperbaiki diri walaupun saya tahu sebenarnya memang susah. Puas juga cuba tabah tapi setiap kali itulah ujian yang lebih besar datang menjengah. Airmata usah dicerita namun pengalaman saya makin saya menangis makin saya lega dan makin jernih fikiran saya. Selepas menangis semuanya kembali tenang dan ketika itu saya semakin boleh berfikir dengan lebih baik. Mungkin itu salah satu hikmah airmata yang Allah berikan kepada manusia.

Saya bukanlah seorang yang warak. Ada ketikanya saya leka dan kadangkala dek kesibukan dunia saya melakukan amal ibadah dengan sekadarnya sahaja. Hanya melakukan yang fardhu dan tidak menambah dengan yang sunat. Melakukan atas sebab ia adalah kewajipan yang jika ditinggalkan akan menyebabkan saya dimurkai Allah. Namun begitu saya cuba sedaya upaya untuk tidak merasa terpaksa.

Ketika Ramadhan yang lalu, saya menyertai kumpulan Tadarus. Tahun-tahun sebelumnya juga saya tidak pernah ketinggalan menyertai rakan-rakan yang lain namun Ramadhan kali ini, saya merasakan kelainannya. Saya teruja mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari rakan-rakan saya. Ada yang membaca tanpa lagu tetapi tajwid dan makhraj hurufnya tepat dan sangat cemerlang. Saya ni hanya boleh dikategorikan sebagai pembaca yang sederahana. Saya tidak membaca dengan laju kerana cara saya memang suka membaca berlagu. Dibulan-bulan lain juga saya memang membaca Al-Quran hampir setiap malam namun yang ingin saya kongsikan di sini adalah jika kita membaca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh, dengan minat dan penuh penghayatan ia merupakan suatu pengalaman manis yang begitu indah dan asyik. Sukar untuk saya gambarkan dengan perkataan tetapi hasil dari amalan selama sebulan itu saya merasa 'sayang' mahu meninggalkan Al-Quran walaupun sehari. Masyaallah..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan